Skip to content

Mus Nasmian Posts

Ebook PERCUMA tanpa syarat pembelian

Saya sebagai penulis turut serta menjadi EJEN DROPSHIP lantikan syarikat penerbitan BLINK BOOK, syarikat penerbitan nombor 1 di Malaysia yang fokus kepada NOVEL UNTUK REMAJA.

Sekarang sedang berlangsung EBOOK PERCUMA. Ia adalah bahan bacaan santai yang boleh dihabiskan dalam masa 30 minit, ia ditulis menggunakan bahasa melayu penuh, tatabahasanya di jaga rapi. Tetapi saya mohon ia digunakan untuk famili tuan puan sahaja, TIDAK BOLEH diedarkan kepada umum.

Ebook Percuma
Ebook PERCUMA tanpa syarat pembelian

Namun jika tuan/puan mahu sebarkan kepada ke grup whatsapp lain, HANYA berikan link ini kepada mereka. TIDAK DIBENARKAN EDAR EBOOK. HANYA EDARKAN LINK WHATSAPP saya ini :

Mahu dapatkan 5 ebook syarikat penerbitan BLINK secara percuma tanpa syarat pembelian? Klik link ini : Saya mahu EBOOK PERCUMA

Mohon tuan/puan simpan nombor telefon saya ini di dalam contact book atas nama : MUS NASMIAN BLINK kerana kami akan edarkan 5 lagi judul ebook untuk bacaan anak remaja tuan puan.

Ebook Percuma
Ebook PERCUMA

Saya sertakan capaian (klik link ini)  KATALOG JUALAN, sekiranya tuan/puan berminat untuk membeli buku fizikal boleh pilih dalam katalog ni ya… Boleh download katalog terkini, versi PDF.

Sekarang ini kami ada buat Promosi Julai Beli RM120 Percuma RM120. Istimewa hanya 200 SET sahaja. Promosi paling berbaloi.

Promosi Eksklusif Buku Bertandatangan Ain Maisarah
Istimewa untuk peminat Ain Maisarah, atau pelanggan yang ada anak-anak yang kumpul buku BLINK. Promosi ini terhad sehingga habis stok buku bertandatangan Ain Maisarah. Lihat kod TT.

Atau jika tuan/puan nak beli 5 buah buku sahaja pun boleh.. kami ada promosi hadiah buku PERCUMA. Terhad 1 untuk satu pembelian 5 buah buku. Klik sini: https://blinkblink.my/buku-hadiah/

Mesejlah saya. Saya bersedia membantu.

Semoga dimurahkan rezeki tuan/puan kerana sudi menggembirakan anak-anak dengan bahan bacaan kami. Terima kasih.

Leave a Comment

Memikat hati pelajar untuk rajin membaca

Blink Books
Blink Books Pilihan No. 1 Remaja

.
Ini bukan kerja senang terutama masa sekarang ini yang penuh dengan saingan.
.
Saingan dari buku lain? Eh tidak…
.
Saingan dari TV, internet dan games.
.
Jadi buku-buku yang diterbitkan sekarang mestilah mempunyai elemen-elemen WOW.
.
Cikgu-cikgu, pihak sekolah, atau ibubapa kadang-kadang tidak bersetuju dengan elemen ini.
.
Buku Thriller, buku seram, ini adalah trend terkini, 10 tahun yang lepas, trend Chic-lit.
.
Pelajar-pelajar kini cepat berubah citarasa hasil pengaruh maklumat dan persekitaran yang cepat berubah.
.
30 tahun dahulu bolehlah menarik pelajar membaca dengan buku Pak Pandir atau Hikayat Sang Kancil.
.
Sekarang kartun jenis GILA-GILA dengan mulut besar dan lubang hidung kembang mungkin sudah tidak menarik minat mereka lagi, mereka lebih sukakan kartun gaya MANGA.
.
Jadi kita sebagai penerbit kena cepat berubah, menawarkan sesuatu mengikut citarasa semasa.
.
Apa yang penting, kekalkan moral dan kebaikkan dalam setiap buku terbitan kita.
.
Ibubapa, guru dan sekolah, terimalah perubahan ini, berilah peluang buku-buku kami masuk ke sekolah-sekolah, hanya apabila ada gula barulah datang semut.
.
Kami sudah buktikan berkali-kali, guru-guru hairan pelajar mereka rajin meminjam buku hasil terbitan kami.
.
Insha-Allah, moga menjadi asbab, pelajar-pelajar rajin membaca buku-buku ilmuan pula.

Leave a Comment

Final exam is here!

Assalamualaikum.. apa khabar pembaca semua?

5 minit terakhir, masih ada yang pulun hingga ke lipatan kajang yang terakhir.

Saya sedang bergelut dalam peperiksaan akhir. Esok masih ada satu paper lagi. Sekarang sedang bertapa di perpustakaan bagi menyudahkan tugasan berkumpulan untuk dihantar esok. Yang bagus tentang tugasan ini, bila dibuat ia seolah-olah ulangkaji untuk peperiksaan. Subjek MIM780: Information Systems: Analysis, Design, and Management. Baca macam rumit kan? Hakikatnya, memang pun rumit pun. Macam sarang labah-labah.

Sempat pula saya menulis blog. Sebenarnya saya cuba hilangkan mengantuk. Keletihan mengulangkaji malam tadi dan terpaksa pula siapkan tugasan.

Tengahari tadi selepas habis exam, kami sempat buat makan-makan sempena semester terakhir kami di sini. Merakam kenangan sebagai penutup atas segala jerih payah yang pernah kami lalui bersama-sama.

Sibuk mengatur juadah atas meja, sempat Raihan selfie.
Nadia dan Akmal berusaha memeriahkan suasana dengan acara secret santa. Seronok dapat hadiah!

Kami semua golongan bekerja yang sengaja cari pasal dalam kesibukan hidup dengan menyambung pelajaran dalam peringkat Master (IM770 – Master of Science in Information Management) di UiTM, Puncak Perdana. Separuh daripada kami sudah berkahwin dan berusia lewat 30-an jadi bidang pangajian ini menjadi pilihan utama kerana bersifat flexible (FLP – Fexible Learning Program). Seminar sebulan sekali iaitu pada hari Sabtu sahaja bermula jam 9am to 9pm. Selebihnya kelas diadakan secara atas talian dan kami gunakan platform yang disediakan oleh pihak universiti untuk berinteraksi bagi menjalankan perbincangan berkenaan tugasan mahupun subjek yang diajar.

Antara hadiah dan cenderamata yang kami terima. Paling istimewa kalendar khas kami.
Cik Puan Pengurus Acara yang berusaha merealisasikan Majlis, Miss JuJu
Sumbangan kek yang sedap dan istimewa
Cubaan menghiburkan kawan-kawan, kami busking sementara mereka mengerumuni makanan
Menerima kunjungan hormat VIP kami, Prof Dr Adnan Jamaludin yang sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang keperluan pengajian kami

Ok. Rasa mengantuk dah hilang. Saya boleh sambung menghabiskan tugasan. Rakan sekumpulan saya sudah menjeling. Kita sambung bebelan di lain waktu.

Class of IM770-FLP Batch 2017-2019

Salam hormat. Doakan kejayaan saya GOT (Graduate.On.Time) menghabiskan pengajian dengan cemerlang!

Amin…

1 Comment

Ergometre is HELL ~ Sharing session with Musaddiq

 ERGOMETER IS HELL 

Aku tergelak sakan bila Musaddiq ulang hampir 11 kali frasa ni malam tu. Untuk pasukan mendayung UiTM yang baru dibina semula, aku bawakan senior mereka yang pernah sama-sama menaikkan sukan mendayung di universiti ini.

Berkongsi momen-momen ketika beliau mencari erti kehidupan di kampus, Musaddiq memilih sukan ROWING apabila dia sedar universiti bukan semata-mata baca buku dan lulus peperiksaan dengan CGPA yang bagus.

“Kawan aku berbangsa cina bagi nasihat. UNIVERSITI ADALAH TEMPAT UNTUK KAU EXPLORE! Jadi aku main rowing.”

Untuk pengetahuan kalian, Musaddiq memang mahasiswa ulat buku. Setiap semester tak pernah gagal mendapat ANUGERAH DEKAN. Tetapi dia tak pernah puas dengan pencapaian itu. Seorang yang cepat bosan, lalu dia buat kerja gila dengan terlibat dengan sukan yang sangat menuntut komitmen tinggi iaitu rowing.

UiTm Rudern
Siap sedia untuk perlawanan akhir

Aku paling terkesan apabila Mussadiq berkata,

“1 semester main rowing rasa macam 2 tahun.”

Dalam hati aku terdetik, apakah? Takkan sengsara sungguh main rowing ya?

Kemudian Musaddiq menyambung, “Dua semester pertama aku rasa singkat. Langsung tiada memori yang bermakna. Tetapi 1 semester main rowing, pengalaman yang dikumpul sangat banyak. 1 semester itulah terhimpun 2 tahun jumlahnya pengalaman berharga!”

Men Coxed Eight Rowing
Semasa pertandingan Uniten Invitatonal Rowing Championship 2010

Ketika saat-saat genting dengan peperiksaan dan hari perlumbaan MASUM dan Varsity Boat Race yang semakin dekat, Musaddiq sanggup mengadap semua pensyarahnya meminta supaya ujian-ujian kelas dikumpul pada minggu yang sama dan menjawab set soalan baru bersendirian.

“Semuanya demi rowing. Aku tahu semuanya akan baik-baik sahaja, asalkan ada perancangan masa yang bagus dan jaga hubungan baik dengan pensyarah.”

Cabaran mengimbangi kegiatan sukan dan kecemerlangan akademik sangat membantu Musaddiq dalam alam pekerjaan.

“Tak apa lah tak dapat selempang diraja masa konvo. Tapi aku puas!”

Musaddiq membina keyakinan diri dengan terlibat dalam sukan. Dia tak mahu jadi ulat buku yang cemerlang dalam peperiksaan tapi bila keluar ke dunia sebenar, tenggelam. Berdepan dengan CEO syarikat semasa sesi temuduga, terus terkunci mulut.

Aduhai! Banyak lagi perkongsian yang awesome dari Musaddiq.

Lain kali aku kongsikan pengalaman Musaddiq menyertai EKSPEDISI KE GREENLAND yang membuatkan junior-junior terpegun dan teruja. Begitu juga pengalaman tetamu kedua kami, Saddiq ketika KEMBARA SOLO JELAJAH NEW ZEALAND beliau. Aku plan nak temuramah mereka nanti.

 

Leave a Comment

Proses Kreatif sebuah Novel Juvana

“Kisah remaja yang terperangkap dalam jenayah”

Awal bulan September, sebuah rangka novel juvana diberikan untuk semakan. Kata penerbit, jika setuju boleh terus tulis dan hantar dalam masa sebulan.

Bulan September bulan yang penuh dengan kesibukan. Bulan Ogos yang lalu baru sahaja GO-LIVE sistem. Fasa kedua projek pula berganti, dijadualkan GO-LIVE 1 Oktober pula. Dalam masa yang sama kuliah semeter akhir sudah bermula.

Jadi proses kreatif novel ini berselang seli dengan pergelutan kerja dan tugasan kuliah. Belum serik nampaknya, saya curi-curi membaca proposal menulis skrip. (sudah mula draf sebenarnya… 🤭) Kalau saya ada kembar, pasti sudah kena tampar dan diazankan di telinga. Saya tak tahu kenapa saya nak buat semua serentak. Hahaha…

Setiap penulis mempunyai simptom yang hampir sama. Saya sendiri mengalami writers block, kemalasan, tangguh-tangguh kerja. Paling parah dan mengganggu timeline adalah drama bersiri di netflix. Sindrom alang-alang menyeluk pekasam membuatkan saya pantang bermula tonton drama bersiri. Pasti akan saya tonton sampai selesai.

Ketika ini saya lunaskan tontonan drama Historical K-pop iaitu ‘tree with deep root’. Mujurlah tak banyak. Hanya 1 musim dengan 24 episod. Alasan saya, kajian bagi mendapatkan idea plot untuk karya sejarah fiksyen akan datang. Hehehe…

Kembali pada kisah juvana ini, penulisan kaedah KJ method membantu saya kekal di landasan. Idea dan latar sudah disediakan, tinggal tulis sahaja. Sorot pandang dan plot perlukan garapan yang segar. Selalunya tidak berjaya pada perenggan pertama setiap bab. Saya akan bereksperimen beberapa kali tetapi takkan berhenti.

Saya pegang kuat petua yang dikongsikan oleh watak Sean Connery dalam filem Finding Foresster (2000),

“You must write your first draft with your heart. Rewrite with your head.”

Jadi tanpa gagal saya mesti menulis setiap hari walaupun satu ayat.

Deadline saya esok, jadi saya kena berhenti di sini dan sambung menulis. Ada 2 bab lagi mahu dilunaskan sebelum disemak semula sehingga puas.

Ya Allah Ya Musawwir.. berikan aku Ilham yang hebat, yang memberi manfaat. Mudah-mudahan asbab tulisanku berjaya mencambahkan natijah yang lebih baik.

Leave a Comment

Kisah “Puaka” bakal diadaptasikan sebagai Komik

Sang editor menerjah peti mesej dengan pesanan bertalu-talu. Ada berita baik gayanya. Sebaik peti mesej dibuka…..

“Sudah jumpa!”

Itu ayat pertama beliau, kemudian beberapa contoh lakaran watak utama dikongsikan. Wahhhh… hati saya sudah terkinja-kinja melompat dan menari keterujaan! Selanjutnya, sang editor yang berdedikasi terus bertanyakan pendapat saya sebagai penulis cerita. Sekaligus mendapatkan persetujuan untuk projek kolaborasi. Ini kali pertama saya ditawarkan dengan kerjasama dengan pelukis komik bagi projek adaptasi. Bagai mimpi jadi nyata!

Watak Zaaban

Lakaran watak Zaaban iras seorang pelakon drama. Tapi saya tak ingat namanya. Sesuai dengan umurnya pertengahan 20-an dan seorang guru agama yang baru sahaja mempelajari ilmu rawatan islam. Pengalaman baru setahun jagung, sangkanya hanya mahu mengimbas dan menghalau gangguan ringan di rumah ibunya. Siapa sangka… jeng jeng jeng.. mana boleh cerita. Spoil lah nanti. Hahahah…

Watak Jais

Lakaran watak Jais pula adalah seorang lelaki kurang siuman yang berumur lewat 30-an. Kusut masai, gigi kuning berkarat dan berbaju lusuh dengan kulit berkerak daki tebal. Ditambah pula dengan bau hapak, entah bila kali terakhir beliau mandi. Sungguhpun Jais gila, tetapi apabila dia merampas mikrofon dari bilal dan melaungkan azan… aduhai! Mendayu-dayu dan menyentap sanubari paling dalam. Tetapi bila dia sambung dengan lagu “Gelisah” dendangan Ahmad Jais, habis satu kampung gempar!

Salah satu babak cemas dalam novel

Kolaborasi ini takkan jadi realiti tanpa kesungguhan dari pelukis. Berbunga-bunga rasa hati apabila si Pelukis Komik yang budiman ini menghadiahkan saya komen yang mengujakan. Siapa sangka ada orang yang sedar tentang nilai di sebalik kisah seram + komedi yang saya garap dalam novel ini. Kata beliau,

“Feel seram tapi bermakna, misteri tapi berpijak pada dunia nyata. Cerita yang baik adalah cerita yang tak disangka endingnya.

Rupa-rupanya dia telah berulang kali membaca novel ini dalam usaha mendapatkan rasa dan perisa bagi mencambahkan idea. Syukur… saat paling bermakna bagi seorang penulis adalah apabila ada pembaca yang mahu berkongsi imaginasi dan pemahaman dari novel yang dibaca. Phewwww… tak terkata.

Kalian yang belum memiliki naskah ini, boleh sahaja dapatkan di toko-toko buku berhampiran. Dalam carta toko buku, POPULAR.. novel ini berada di tangga 16. Boleh juga berurusan terus dengan wakil kami. Klik sini: http://www.wasap.my/601132933644/PulangkanKembarPuaka

 

Leave a Comment

Putar Giling Bahagian 2

“Apa cerita anak dara Datin Zam, mertua kau yang lari ikut lelaki korea tu?”

Niya menoleh ke arah mak sekilas sebelum kembali menumpukan pandangan pada beras yang diisi di dalam kelongsong daun kelapa.

“Belum balik lagi.”

“Dia kan banyak duit. Kenapa tak ke Korea dan cari anaknya, dibawa balik?”

“Sudah, mak. Mama upah orang ke sana untuk cari Mimi tu. Tapi anaknya yang tak mahu balik.”

“Ya Allah.”

“Itulah, kecoh bila mama pengsan dengar berita tu. Mimi tu anak dara kesayangan dia, mak.”

Niya teringat ketika ibu mertuanya pernah menjerit pada Mimi apabila menerima bil kad kredit yang melambung tinggi. Entah bila dia curi kad itu dari dompet ibunya.

Gadis berusia 19 tahun itu hanya tahu bersuka ria bersama teman-teman sebaya. Setiap malam keluar dan pulang awal pagi. Dihantar belajar ke kolej swasta, namun tak pernah berminat untuk hadir kuliah langsung.

“Apa lagi ikhtiar mertua kau?” Mak bertanya lagi pada Niya sambil mencampakkan kelongsong daun kelapa yang telah siap dianyam menjadi ketupat ke dalam besen.

“Entahlah mak. Terdengar hari tu mama ada sebut-sebut PUTAR GILING.”

“PUTAR GILING? Apa bendanya tu?”

“Niya pun baru tahu bila tanya abang Zain. Dia kata memang maknya selalu jumpa dukun Rosli minta bantuan. Dukun ni pakar cari barang hilang.”

“Manusia pun boleh ke?”

“Boleh katanya. Dia seru suruh balik. Tapi abang Zain cakap, ilmu ni ada keburukannya.”

“Apa dia?”

“Orang yang diseru, kalau tak dapat balik akan gila.”

“Masya’ Allah!”

Mak geleng-geleng kepala.

“Eh, Niya! Entah-entah, si Fawwaz tu pun kena PUTAR GILING dengan mertua kau!”

“Ish! Apalah mak ni? Takkan seorang nenek sanggup nak sihirkan cucu sendiri?”

“Habis tu, kenapa anak kau macam tak kenal ibu kandung? Menangis berteriak sepanjang malam sampai kau terpaksa pulangkan dia balik malam tu juga ke rumah Datin Zam tu?”

Niya pegun. Matanya merenung beras yang memutih di dalam besen. Semakin lama semakin dalam. Hatinya membara. Darahnya mula menggelegak. Tak semena-mena air mata menitis laju membuatkan dadanya sesak.

#dilemmawanita
#spoiler
#novelmistikakandatang
#skripdrama
#putargiling

Leave a Comment

Putar Giling Bahagian 1

“Yeay.. Yeayy.. Kak Niya datang! Yeay.. Yeayyy!”

Bersorak riang kanak-kanak berumur lima, tujuh dan lapan tahun meluru keluar di halaman rumah berkaki ayam apabila menyedari kemunculan kereta Honda Civic yang dipandu oleh suami Niya, Zain.

Niya memaksa senyum sambil mengerling ke arah suaminya yang mendengus. Adik-adiknya menerpa ke arah cermin kereta. Tangan mereka yang berminyak melekap sambil melambai-lambai, meninggalkan kesan di cermin kereta yang baru dicuci itu.

“Adik-adik awak ni memang selekeh sepanjang masa agaknya. Ishhh…. Saya baru cuci kereta tahu tak?”

Niya buat-buat pekak hanya membalas lambaian dan membuka pintu kereta. Ketiga-tiga adiknya dipeluk rapat ke tubuh sambil dicium tanpa rasa jijik. Satu persatu pipi mereka dipegang sambil tangannya mengelap cairan hidung yang meleleh jatuh. Yang tinggal hanya kerak hingus.

“Kak Niya beraya di sini ya?”

“Mana Fawwaz, kak?”

“Anim nak main dengan Fawwaz lah kak. Anim rindu.”

“Ajul pun rindu, kak. Mana Fawwaz?”

Bertalu-talu soalan dari mulut adik-adiknya yang masih kecil itu membuatkan hatinya dipanah rasa pedih. Bagai ditikam bertalu-talu. ‘Anim dan Ajul rindu? Kakak dah mati menanggung sendu.’ Niya menangis di dalam hati.

“Fawwaz tak ikut balik. Fawwaz duduk dengan nenek dia di KL.”

Adik-adiknya melepaskan pelukan dan berjalan longlai kembali ke dalam rumah. Niya hanya mengekori langkah mereka. Di pintu masuk, adik perempuannya, Linda yang sudah meningkat remaja menegur.

“Hmm.. Memang tak ada harapan langsung nak beraya dengan Fawwaz kan? Nak jumpa susah. Langsung tak pernah tidur sini.” keluh Linda sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Linda, sudahlah. Kau tahu apa? Kau rindu anak sedara. Kak Niya rindu anak sendiri. Mana lagi berat? Jangan sapu garam di luka, boleh?” tiba-tiba Mak muncul menyambut Niya di muka pintu.

Niya menghulurkan salam. Mencium tangan ibunya yang sudah mula berkedut. Air matanya menitis tak tertahankan.

“Sudah. Sudah. Masuk. Kejap lagi nak berbuka. Tidur sini kan malam ni? Mana Zain?”

Mak menepuk bahu Niya mendorongnya masuk ke rumah lalu keluar menyambut menantu sulungnya itu.

Niya hanya tunduk dan berjalan ke dapur. Linda berjalan beriringan dengan kakaknya.

“Bestnya kakak beraya di sini. Malam ni kita buat biskut ya kak?”

Niya tidak menjawab dan terus membuka tudung periuk melihat isinya. Ada sup ayam kampung sedang mereneh.

“Hmm… Kalau dah monyok macam tu memang tak ada harapanlah jawabnya. Macam tahun-tahun sudah. Lepas buka akak balik KL kan?”

Niya mencapai pisau di atas meja dapur lalu menghabiskan kerja mak menghiris bawang di atas papan pemotong.

“Kesian, mak dan abah. Tak dapat beraya dengan cucu lelaki yang seorang tu. Nak beraya dengan anak perempuan pun susah.” Linda belum mahu berhenti mengomel sambil tangannya mencapai kentang dan besen kecil di kabinet dapur.

Perlahan-lahan kentang itu dikupas.

“Sudah 4 tahun akak tak beraya dengan kami. Nampak gaya memang tak ada harapan lah tahun-tahun hadapan pun. Abang Zain ni kejamlah!”

Mak muncul di muka pintu dapur. Berdehem. Mata mak berkaca-kaca.

“Jaga mulut tu Linda.”

Mak mendekati Niya. Pisau di tangan Niya diambil.

“Sudahlah. Pergi berehat. Jalan jauh kan? Nak balik pula lepas buka nanti, mesti penat. Pergi depan duduk dengan Abah, tolong anyam ketupat.”

Niya menurut. Kepalanya terasa berat dengan pelbagai isu. Wajah Fawwaz bermain-main di fikiran. Langkah kakinya terus dipaksa ke depan.

Abah sedang duduk di beranda ditemani Zain ketika Niya menjenguk. Tangan abah pantas menganyam pucuk daun kelapa.

“Malam ni abah masak ketupat ni, ya. Boleh bawa balik KL. Zain kata dia nak tunggu ketupat abah. Mari sini tolong anyam.”

Abah tersenyum ria.

Niya memandang Zain yang memusingkan bebola mata dengan rasa kurang senang. Tangannya disilangkan ke dada lalu menggelongsorkan tubuhnya di kerusi sofa itu. Terus memejamkan mata.

Niya duduk di lantai, bersentuhan kaki dengan lelaki yang dipanggil abah itu. Tangan abah dikaut dan dicium lama.

Abah hanya tersenyum. Menyembunyikan perasaan.

#dilemmawanita
#fawwaz
#nextdrama #nextpuaka
#putargiling

Leave a Comment

Kisah Laut, Angkasa dan Impian

Sayang sedeli permata buana
Pasirnya putih laut membiru
Terkenang hati ditinggal di sana
Budi Tuan buat kami terharu

Kalau ada sumur dalam airnya
Kepingin sungguh berendam kaki
Kalau ada umur dan jodohnya
Kepingin sungguh bertemu lagi

~MN, 16 Mar 2019, Klang

Bila menulis artikel berkisar topik laut, saya selongkar galeri di dalam telefon bimbit. Teringat kenangan menjelajah pantai timur di selatan semenanjung. Aduhai, ruginya… hanya beberapa keping gambar di tepi pantai, itupun tak bersungguh. Kebiruan laut di pantai sebelah timur ini memang tidak pernah mengecewakan dengan pasir di pantai yang memutih. Kalau tidak kerana Program Jelajah Sekolah bersama Blink Books, saya takkan sampai menjejak kaki ke sini.

Kawasan peranginan di Tanjung Sutera Beach Resort

Berharap sangat dapat kembali.

Program Jelajah Sekolah
Program Jelajah Sekolah di daerah Tanjung Sedeli

Istimewa anak-anak di Tanjung Sedeli ini, saya berusaha meyakinkan mereka bahawa membina impian itu percuma. Jujurnya, mereka tidak pernah terfikir untuk menulis impian menjadi sebuah matlamat.

“Sky is the limit”

Itu yang saya ulang-ulang sambil menyelitkan kisah-kisah inspirasi tentang kejayaan atlet Malaysia mahupun dunia. Seperti ombak di lautan, saya dendangkan kisah kegagalan demi kegagalan yang bertali arus mengasak sehingga rasa putus asa itu terbit. Tetapi, setiap individu ini berjaya meredah badai di lautan kehidupan. Saya tidak hanya menekankan kejayaan bahkan kegigihan atlet ini berdepan dengan cabaran walaupun tewas berkali-kali.

Kuasa imaginasi dan visualisasi seorang atlet mampu membawa jatidiri mereka ke puncak jaya.

“Impian yang tidak ditulis akan jadi angan-angan. Namun jika ditulis, impian itu akan bertukar menjadi MATLAMAT.”

Semasa program ini, pengerusi majlis guru besar Tuan Johari Md Saad bersusah payah mengaturkan agar 9 buah sekolah termasuk sekolah-sekolah kurang murid menyertai bengkel ‘Modul Asas Juara’ ini. Sek. Kebangsaan Sempang, Sek Keb. Seri Perani, SK Telok Hutan Lesong dan SK Tenggaroh mempunyai jumlah murid sekitar 16 sehingga 80 orang sahaja. Namun mereka tidak ketinggalan untuk menyertai bengkel anjuran Blink Book.

Kesempatan yang diambil untuk guru-guru ini memberikan pendedahan kepada anak-anak luar bandar tentang kewujudan dunia luar selain yang didiami mereka. Sek Kebangsaan Seri Gembut menawarkan diri menjadi tuan rumah dan menyediakan ruang untuk 120 orang pelajar menyertai bengkel tersebut. SK Seri Setia Jaya, SK Sedeli Kecil, SK Sedeli Besar dan
SK Mawai menghantar semua pelajar tahun 6.

Bengkel ini diakhiri dengan harapan menggunung. Mudah-mudahan ilmu yang diberikan mendatangkan manfaat.

Leave a Comment

“… KISAH BUDAK ASRAMA: BAHANA MULUT TAK ADA INSURAN…”

Dua tahun duduk di asrama sekolah teknik, macam-macam cerita menarik timbul. Yang lucu, yang seram, yang pedih semua ada. Salah satu ceritanya adalah macam cerita di bawah ni.
Antara perkara yang menjadi kelaziman bagi penghuni asrama puteri ialah kami akan beramai-ramai membaca yassin sebelum tidur. Berkumpul di tengah-tengah dorm dengan diapit katil berkembar di kiri dan kanan, kami duduk dalam satu bulatan. Usai membaca, kesempatan itu diambil untuk kami bersembang sebelum warden bertugas melakukan rondaan dan melibas rotan di pintu kamar memaksa kami masuk tidur.
 
Namun ada peristiwa di satu malam di mana langit ketika itu gelap tanpa cahaya bulan. Lampu-lampu dorm sudah dimatikan, yang tinggal hanya lampu di kaki ima. Kami masih berlonggok sambil bersembang tentang kes pelajar ponteng yang dirotan di perhimpunan pagi tadi.
 
Mula-mula masih kedengaran derap tapak kaki dan suara pelajar yang berbual-bual pulang dari bilik mandi. Kebetulan pula kamar kami paling hujung dan bersebelahan tandas. Lama kelamaan suasana menjadi senyap sunyi di luar. Warden juga malam itu tidak meronda seperti biasa menyebabkan kami tidak menyedari waktu sudah semakin lewat.
 
Sedang rancak berborak, perbualan kami terhenti apabila terdengar ayam berkokok kat luar dorm. Bagai malaikat lalu, suasana berubah menjadi sunyi.
 
Hati aku rasa tak sedap. Degup jantung mulai kencang membuatkan aku mula merangkak menaiki katil.
 
Tetapi memang malam itu malam cari nahas. Ada pula yang bersuara memecah kesunyian.
 
“Ayam berkokok tanda hari mau siang.”
“Ayam berkokok tanda hari mau siang.” kata Ema sambil ketawa.
 
Aku menepuk dahi.
 
“Shhhh..” Mona menjegilkan bebola mata ke arah Ema sambil menekap jari telunjuk ke bibirnya.
 
“Eh.. apa suhhh.. suhhh. Kan orang tua kata ayam berkokok malam-malam tanda turun rahmat.” Ema melawan.
 
“…Mulut Mak Limah betul kau ni. Malam-malam macam ni jangan tegur benda-benda pelik, boleh?” Si Mona tak habis membalas.
 
“Eh… Betullah. Pakcik aku cakap. Kalau dia bohong, maknanya aku bohonglah.”
 
“Shhh… diamlah!”
 
Bahagian selepas itulah yang paling haru-biru.
 
Ayam yang berkokok di luar asrama itu tiba-tiba berkokok lagi.
 
Mula-mula sayup saja kedengaran bunyinya. Selepas tu makin lama semakin kuat dan semakin dekat. Bersahut-sahut.
 
Aku dengan budak-budak dorm dah berpandangan sesama sendiri. Ada pula yang tarik lengan aku sambil memeluk erat. Ada yang sudah melutut mengigit semua jari sambil mata meliar tengok atas bawah depan belakang.
 
Ayam itu masih berkokok lagi.
 
Mujurlah Kak Nana, seorang kakak paling senior dengan tudung paling labuh terus mengetuai bacaan ayat kursi. Yang lain-lain tunggang langgang mengikut baca dengan mata meliar ke sana ke mari. Ada yang sudah menggigil sehingga berlaga gigi.
 
Bunyi ayam berkokok itu semakin lama semakin kuat tanpa tanda mahu berhenti. Kokokan itu semakin jelas sehingga betul-betul di depan pintu kamar kami.
 
Aku dah melopong menunggu masa pintu itu terbuka, membayangkan rupa bentuk mahkluk berjambul atas kepala yang akan muncul depan kami. Adakah kami akan dipatuk atau disergah, semua kemungkinan terbayang di mata aku.
 
Namun sebaik sahaja kakak Nana menghabiskan bacaan barisan ayat kursi yang terakhir, kokok ayam itu terus lenyap. Senyap.
 
Sunyi.
 
Sepi.
 
Seorang pun tidak berani membuka mulut. Seorang demi seorang bubar dan merangkak naik ke katil, cepat-cepat tarik selimut dan cuba tidur. Siapalah sangka ayam berkokok pun boleh bikin seram!
 
Aku? Sudah berselubung di dlam selimut. Phewwww… sempat pula aku menyumpah-nyumpah di dalam hati. Mulut siapalah tadi yang lancang sangat tadi. Aku pula yang merana tak boleh lelap. Tak sabar tunggu azan subuh nak berkumandang.
 
Yang pasti, aku berdoa keras di dalam hati. Tidurlah terus, jangan terjaga sampai pagi. Tak mahu berulang kisah misteri itu lagi. Ada pulak setan yang mencangkung di tengah-tengah dorm sambil menyanyi.
 
“Satu dua tiga leburrrr, semua lena tidur berdengkur,
Terbang tinggi burung tekukurrrr,
yang dah bangun tu tak payah nak pura-pura tidur”
 
Makkkkkkk!!!!!!!!
 
#seramistik #puakaasrama
Leave a Comment