Skip to content

Mus Nasmian Posts

Indera Jugra ~ Hikayat Malim Jeman Bahagian I

Tersebutlah kisah sebuah negeri
Aman dan damai tidak terperi
Rakyatnya gagah bijak bestari
Indera Jugra nama diberi

Makmurnya negeri dilimpahi rahmat
Padi menguning tak putus berkat
Emas dan perak tak cukup disukat
Hasil ternakan dihitung tak larat

Demikianlah gurindam dan syair yang dilagu-lagukan pedangang lalu yang pernah singgah di negeri Indera Jugra sebelum mereka ke destinasi utama. Kemakmuran negeri itu menjadi sebut-sebutan dan melata dari bibir ke bibir sehingga keseluruh alam maya. Ramailah pedagang-pedagang dari negeri atas angin ingin mencuba nasib dan menikmati sendiri hawa udara Indera Jugra. Bentuk muka buminya yang luas, subur dan perlabuhannya terlindung dari angin ribut kencang menjadi pilihan utama pedagang-pedagang antarabangsa untuk singgah sambil bertukar-tukar barang dagangan. Kadang-kadang terdengar juga bidalan orang, negeri Indera Jugra ini seumpama tanjung perak. Ini kerana belumlah ia dapat menandingi kemakmuran semenanjung emas yang terletak di bawah garisan khatulistiwa itu.

Adapun kemakmuran negeri itu tidaklah semata-mata kerana hasil dagangan, tanaman mahupun ternakan. Bukan juga kerana hasil buminya yang melimpah ruah. Negeri Indera Jugra lebih dikenali kerana gemar mengadakan pertandingan dan permainan bagi menunjukkan kegagahan, kekuatan dan kebijaksanaan rakyat negerinya. Ibu negeri Indera Jugra bernama Indera Batu dibina semacam kawasan luas yang lengkap dengan bongkol-bongkol batu batan ditarah rapi buat keselesaan mana-mana punggung yang berlabuh di atasnya. Batu batan itu disusun bertingkat-tingkat dan memanjang sehingga enam ratus langkah jauhnya. Di sinilah rakyat dan pendatang dari negeri luar berhimpun apabila diadakan keramaian bagi segala macam jenis permainan.

Rakyat Indera Jugra sangat terkenal dengan ketangkasan mereka menunggang kuda, memanah dan berenang.

Leave a Comment

Baca @ anywhere: VT ~ Hilal Asyraf

Menerima satu lagi bingkisan dari pos laju kiriman UjanaIlmu. Kali ini agak terlewat sedikit, tidak seperti biasa. Selalunya hari ini order, esok dah dapat. Namun masih dalam lingkungan tempoh masa 2-3 hari seperti terma & syarat jual beli. Terkilan juga bila diskaun yang ingin diberi ditarik balik gara-gara aku mohon dibuat dua kali penghantaran. Maklumlah, gaji sebulan dua kali pembayaran. Awal bulan tentunya lebih banyak keperluan.

Tetapi tidak mengapa, berkorban demi ilmu. Demi buku. Demi isinya yang nyata tidak mengecewakan. Tiada unsur cinta kepada wanita, hanya cinta pada Allah. Biasanya, penerbit buku mahukan unsur cinta dalam penulisan supaya dapat menarik pembaca. Tetapi penulis ini berjaya menerbitkan aura tersendiri tanpa perlu campur aduk dengan konflik percintaan.

Berbalik kepada isi buku ini, sarat dengan pesanan, nasihat & dakwah. Semuanya disampaikan melalui penceritaan yang diadaptasi dari kisah benar Hilal Asyraf sendiri. VT atau volleyball team memaparkan kisah sekumpulan pelajar MARTI (Maahad Attarbiyah Al-Islamiyyah, Perlis) yang kehilangan arah dan tujuan. (p/s: padanlah karya islaminya kaya dengan hadis dan petikan ayat al-quran). Hanya satu persamaan yang mengikat mereka dengan kuat. Cinta mereka pada Allah dan sukan bola tampar. Pasukan bola tampar yang mulanya sangat goyah dan lemah ikatan sepasukan akhirnya teguh berkat bimbingan jurulatihnya, Ustaz Husam a.k.a Saiful Rahman. Kejohanan peringkat negeri diburu oleh mereka.

Menerapkan unsur bahawa sukan itu ibadah, buat aku rasa kecil sekali di sisi penulis muda ini yang baru berusia 21 tahun tetapi telah menghasilkan bermacam-macam karya. Nilai-nilai yang diterapkan sudah diguna-pakai berkali-kali oleh jurulatih-jurulatih sukan lain tempatan mahupun antarabangsa. Cara bermain dengan psikologi atlet penting bagi memantapkan keyakinan & komitmen individu mahupun kumpulan. Bezanya, ikatan kuat mereka disulami dengan …..

Bacalah buku ini. Penuh dengan konflik, terhibur dengan kelucuan, menarik dengan penerangan yang jelas tentang taktikal dan kemahiran bermain bola tampar. Susun atur buku setebal 511 muka surat ini lengkap dengan gambarajah di akhir helaian.

Ziarah juga ke blog penulis: http://ms.langitilahi.com/

Leave a Comment

Kelakar……

Komen ibu Syafiah Humairah (anak kecil yang didera dan dibelasah sehingga mati) apabila ditanya wartawan mengenai sifat teman lelakinya, “Emmm..sebenarnya dia seorang yang kelakar…..” buat aku tergolek depan tv.

Kemudian di slot TERJAH oleh Nas Ahmad, ketika isteri baru yang muda belia remaja pucuk bergetah kepada seorang artis diminta memberikan komen, kenapa si artis (yang pernah dipanggil papa ——) menjadi pilihan. Dia menjawab, “Abang.. dia seorang yang kelakar….” sekali lagi aku tergolek depan tv. Tetapi mata aku tidak lepas dari kaca televisyen itu, menanti-nanti apa ayat seterusnya….. bungkam.. tiada…

aik? Takkan itu sahaja keistimewaan seorang lelaki yang dipilih menjadi teman hidup? Takkan itu sahaja yang anda mampu gambarkan tentang pasangan hidup anda? Kelakar? Itu sahaja…

hahaha… kadangkala kita memang jujur tanpa disengajakan buat diadili oleh berjuta-juta penonton…..

Aku ketawa sambil menangis mengenangkan semua ini. Bertalu-talu ingatan aku ucapkan dalam hati. Ambillah iktibar.. ambillah iktibar… insaflah…. insaflah… kembalilah ke jalan-Nya…. kembalilah.

Leave a Comment

Sukan Mendayung di Layar Perak!!!!


Newsletter dari worldrowing diterima pagi ini. Tiada berita yang lebih mengujakan selain berita La Regate .

Khabarnya hanya diedarkan di Perancis, Belgium & Luxembourg. Untuk kita di Malaysia, terpaksalah menanti lebih lama sedikit. Saya pasti menghubungi Stefan atau Karine di Quebec bagi mengirimkan DVDnya ke Malaysia.

Sinopsis:
Cerita berkisar tentang remaja berumur 15 tahun yang berazam memenangi Belgian Rowing Championships. Namun Alex terpaksa berdepan dengan tekanan dan penderaan dari bapanya. Alex menggunakan obsesinya pada sukan mendayung untuk lari daripada realiti derita kehidupan.

Pengarah, Bernard Bellefroid.

Yang menarik mengenai filem ini:
Pelakon utamanya tidak pernah mendayung. Demi mendalami watak dan mendapatkan syot terbaik dengan teknik yang betul, pelakon ini memperuntukkan dua bulan setengah berlatih bersama pasukan kebangsaan dan jurulatihnya. Mengakui latihan yang keras dan meletihkan sangat mencabar. Di samping sentiasa mendapat kritikan daripada pendayung2 yang lain menegur tekniknya yang tidak betul.

Untuk adegan perlumbaan, mereka terpaksa mencari pendayung yang mempunyai susuk tubuh yg sama bagi mendapatkan syot terbaik.

p/s: macam pernah dengar pengalaman tu kan… huhuhu… dua bulan? makan tahun beb!

useful link:
“La Regate” website
“La Regate” trailer
“La Regate” Facebook page

Leave a Comment

B.B.Q di Batu Dam

Malam minggu, malam pertemuan semula bekas pendayung-pendayung kebangsaan di majlis BBQ yang diadakan serentak dengan malam terakhir kem latihan sukan sea II. Hanya beberapa orang yang dapat menjelmakan diri namun cukup meriah. Gembira dengan kemunculan Amir + Mono, double scull 1998 ~ 1999. Juga Tonga, Abang nizam dll. Masing-masing punya keluarga sendiri.

Saya ternanti buah tangan Saudara Nizam dengan kameranya yang canggih. Bila agaknya akan di’posting’ di facebook.

Apapun, pertemuan ini hasil usaha Head Coach, Coach Halim. Tercapai objektif pertama. Beberapa orang dinanti kemunculannya di lain hari seperti Abang Din, Farid, Kembar Zaidi & Zakaria, Abang Fuad, Shasha, Zurin, Eisya, Gee dll. Ramai lagi ditagih supaya kembali bertemu sambil mengimbau kenangan lama.

Kawan2, semoga bertemu lagi.

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

2 Comments

Kemaraan pendayung MARA

Feb-10, jam 8:40pm aku tiba di bangunan kolam renang UiTM bersebelahan Kolej Delima. Itupun bergegas aku keluar dari kelas E-commerce di Kampus Puncak Perdana yang berakhir jam 8pm. Ini adalah pertemuan kedua kami selepas ujian 500m yang aku kendalikan bersama Izwan, seorang kayakers & pelajar senior minggu lepas. Kehadiran kali ini agak kurang disebabkan sesetengah daripada pelajar terikat dengan kelas dan kuliah.

Ujian 500m minggu lepas menyaksikan keputusan yang menarik. 3 orang pelajar perempuan berjaya mencatatkan masa bawah 2 minit bagi ujian kali pertama. Fizikal mereka dengan ketinggian menunjukkan potensi besar. Begitu juga pelajar lelaki. Catatan terbaik mereka adalah 1:37.0.

Malam tadi lebih kepada penerangan tentang teknik di ergo, program dan zon latihan yang mereka harus ikuti. Sedar tak sedar mereka di minggu akhir fasa persediaan sedangkan ini adalah pertemuan kedua kami. Rombakan kecil pada program latihan perlu dibuat bagi memastikan kondisi mereka bersedia menerima beban latihan untuk fasa pra-pertandingan.

Sebelum memulakan fasa pra-pertandingan, ujian 2000m perlu dilakukan bagi mendapatkan data yang tepat. Ini penting bagi rujukan mereka mematuhi program vs zon latihan nanti.

Sungguhpun aku terikat kerana berkhidmat dengan UTM namun sebagai warga UiTM meski separuh masa, aku tidak mahu ketinggalan menyumbang. Lagipun, ini pasti menyeronokkan kerana saingan semakin sengit. Semakin di kejar, semakin jauh kita ke depan. Betul tak?

Dayung terus!!

Leave a Comment

Risik-risik

Berita UTM diangkat sebagai pusat kecemerlangan sukan air bukan satu rahsia lagi. Pembangunannya pasti sudah dirancang dengan teliti. Perlaksanaan belum kelihatan namun apabila dirisik-risik ada pergerakan yang sudah dimulakan.

Khabarnya UTM mencari calon untuk mengepalai carta organisasi baru ini. Beberapa nama sudah disenarai pendek namun calon yang sesuai nampaknya terikat dengan komitmen lain. Calon ini punya kriteria yang sempurna iaitu pengalaman pengurusan sukan, bekas atlit mendayung kebangsaan, daya kepimpinan yang tinggi dan sangat agresif. Tonggak yang tuan pengarah mahukan. Malangnya komitmen yang tersarung di jari manis mengikat kata muktamad. Mungkin ada tawar menawar di situ.

Sudah pasti tuan pengarah mahukan seseorang yang mahir selok belok kerja bersamanya, pantas bertindak dan memberikan maklum balas. Jika calon diambil bukan dari bidang sukan air, kelak bermacam pula isu yang timbul. Mengendalikan dan mengurus organisasi bagi melaksanakan perancangan memerlukan seseorang yang masak dengan asam garam sukan ini.

Kita di sini hanya mampu berdoa agar semua pihak mendapat manfaat dengan situasi menang-menang.

Intai-intai

Khabarnya juga pergerakan membentuk pasukan ke World Varsity Rowing Championship juga sudah nampak bayang-bayangnya. Macam mulut murai pula aku ni… tetapi ini perkhabaran gembira. Kita selangkah lagi maju ke depan. Pendayung-pendayung bakal ke Hungary Ogos ini? Belum ada pengesahan, sekadar khabar di angin lalu.

Bertanding di peringkat antarabangsa selalunya kurang memberikan kelebihan kerana fakor fizikal. Kecuali acara lightweight. Tetapi kita juga ada Safwan & Zulfadhli (UTHM) dengan ketinggian mereka hampir 190cm. Fizikal hampir setanding tetapi kekuatan belum dapat diukur lagi. Saya dapat lihat potensi pair (2-) open pada mereka memandangkan pair tidak menghidangkan acara lightweight untuk Mazli dan Wan.Ah! Pasti Wan & Mazlie (UTM) kecewa kerana ini adalah acara kegemaran mereka. Oh.. patutlah mereka diam-diam berlatih sculling… :p

Jom! Dayung terussss!!

Leave a Comment

Halijah dan Latissimus Dorsi

Halijah merujuk kepada doktor di klinik universiti berkenaan kesakitan yang dialami di bahagian bahu dan belakang badan. Kesakitan yang berlarutan sejak beberapa minggu nampaknya tidak dapat ditanggung lagi. Biasanya, jika kesakitan normal yang dirasakan selepas latihan akan beransur pulih dalam masa beberapa waktu.Ianya juga bukan kesakitan yang tajam, tetapi lebih kepada sengal-sengal otot akibat kesan latihan. Selalunya memberikan impak positif kepada stamina dan kekuatan.

Namun kali ini, Halijah bukan sahaja mengalami kesakitan yang berterusan. Ingin bangun dari tidur sahaja, Halijah mengambil masa 15 – 30 minit. Belum lagi dikira kelesuan. Sukar sekali untuk kembali aktif dan melakukan kerja-kerja rutin. Berkejar ke kuliah, kemudian ke unit sukan memastikan pengurusan kem latihan, melaporkan perkembangan kepada presiden kelab di KL & JB juga kepada jurulatih, bertegang urat dengan Ayahanda Tuan Pengarah Unit Sukan, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan mendapatkan maklum balas ahli-ahli kelab yang bermacam ragam.Ditambah pula dengan tekanan untuk memenuhi program latihan.

Naib Presiden Kelab Mendayung ini bekerja seperti lipas kudung. Punya pengurusan waktu yang tersusun tetapi badannya kali ini tidak mahu menurut arahan otak. Badannya sudah menghantar isyarat supaya beristirehat. Juga isyarat supaya memperlahankan aktiviti. Refleks badannya tidak dapat menandingi kepantasan otaknya bekerja. dan akhirnya, isyarat jelas & tegas terus diberikan. Kesakitan pada bahu dan belakang badannya minta perhatian.

Diagnose pertama yang doktor berikan adalah kemungkinan tisu otot bahunya koyak. Muscle tear. Masih di peringkat awal. Tiada MRT atau CT scan. Hanya bersandarkan kepada pemerhatian sahaja. Surat ditulis dan ditandatangani bagi mendapatkan nasihat pakar fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur. Halijah mendapatkan temujanji dan memaklumkan situasi tersebut kepada jurulatih. Hasilnya temujanji hanya dapat dibuat pada 24 Feb. Aduh! Kesakitan itu harus ditanggung selama waktu tersebut. Dapatkah pil dan ubat-ubatan membantu?

7 Feb – latihan yang dijadualkan sepatutnya di Taman Tasik Titiwangsa. Setibanya di sana, bukan sahaja tidak menemukan parking lot. Malahan, untuk berlari pun bakal berlanggar bahu dengan lautan manusia. Ada pertandingan memancing rupaya. Tempat latihan diubah ke Taman Rekreasi Jalan Jelatik. Walaupun tidak seluas mana, memadai untuk larian dan sedikit latihan sirkit. Halijah turut serta sebagai penonton bersama Halily (juga cedera kerana kemalangan motorsikal.. macam-macam)matahari juga sudah meninggi. Latihan selesai jam 10:30AM. Kami ke Setiawangsa membasahkan tekak di restoran mamak.

Di restoran mamak, Halijah menyembunyikan kesakitan dengan gelak ketawa. Namun sempat pula dia menyatakan hasrat untuk bercuti. Halijah tidak menyertai kem latihan minggu depan. Ingin berehat dan pulang ke kampung. Janjinya segala urusan mengenai kem latihan akan diselesaikan bersama Mazlie dan Iram Maisarah. Pantas jurulatih teringat temannya merangkap sifu fisioterapi, Tuan Shamsul Azhar di Bandar Puteri, Klang. Temujanji dengan fisio HKL masih jauh di depan sedangkan kesakitan masih menyucuk-nyucuk di bahu Halijah. Segera di dail nombor di tangan, dan alhamdulillah.. Tuan Shamsul ada kelapangan untuk merawat Halijah.

Temujanji jam 2pm. Halijah dibawa pulang bersama ke Klang. Hasil pemeriksaan, Tuan Shamsul mendapati Halijah tidaklah mengalami kecederaan serius. Terpancar kelegaan di wajah jurulatih dan Halijah sendiri. Otot belikatnya mengalami bengkak dan tulang belakangnya beralih sedikit. Bengkaknya cenderung di sebelah kiri. Rupa-rupanya
Halijah mendayung di bahagian bow sejak beberapa minggu yang lalu sedangkan dia adalah pendayung stroke. Komposisi otot dan badannya belum dapat menyesuaikan diri dengan perubahan. Ditambah pula regangan badan yang dilakukan kurang efektif.

Tuan Shamsul memberikan rawatan dengan menekan bahagian kiri badan dengan menumpukan tekanan pada bengkak tersebut sehingga ke belikat (latisimus dorsi). Sambil memberikan rawatan, Tuan Shamsul memberikan kelas percuma kepada jurulatih tentang bagaimana mengesan punca kecederaan/kesakitan dan bagaimanakan cara rawatan. Jurulatih dapat merasakan perbezaan dan bengkak yang dikatakan olehnya.

Rawatan diberikan selama sejam dan jurulatih berpeluang turut serta memberikan rawatan sebagai latihan dengan pengawasan Tuan Shamsul. Rawatan ini perlu diulang beberapa kali dan jurulatih akan memberikan sendiri rawatan susulan tersebut. Selain itu, Halijah perlu melakukan teknik senaman khusus seperti yang telah dinasihatkan oleh Tuan Shamsul.

8-Feb sms dihantar kepada Halijah bertanyakan tentang tahap pemulihan. Menurut Halijah, 80% kesakitan sudah hilang. Alhamdulillah!

Profil dan maklumat lanjut tentang fisioterapi dan urutan sukan oleh Tuan Shamsul boleh diperolehi di sini. http://www.medicmassage.net/

Leave a Comment

Bila arahan diterjemahkan….

Definisi: Mendayung merupakan sebuah olahraga yang menggunakan dayung dan berlangsung di atas sungai, danau, dan laut. Dalam teknik mendayung dengan oar hanya dikenal dua macam kayuhan yaitu dayung maju dan dayung mundur. Jika menginginkan perahu bergerak kedepan maka digunakan dayung maju sedangkan dayung mundur untuk menghentikan perahu yang sedang bergerak maju atau memang menginginkan perahu bergerak mundur. Jika ingin membelokkan perahu ke kanan maka tangan kiri mendayung maju dan tangan kanan mendayung mundur,dan sebaliknya jika ingin membelok kekiri.

p/s: Boleh guna ni! Ayuh…. anak kapal! Maju ke depan! Maju! Maju! Jangan mundur…. dayung terus!

sumber: Dari Wikipedia bahasa Indonesia, ensiklopedia bebas

Leave a Comment

‘winning in tough times, leading in tough times’

Ikon sukan rowing di peringkat antarabangsa bagi pasukan GB yang selalu dikenali adalah Sir Steven Redgrave & Matthew Pinset. Ini kerana pencapaian luar biasa Sir Steven Redgrave yang bertahan selama 5 musim olimpik sehingga diiktiraf sebagai lagenda yang masih hidup. Begitu juga dengan Matthew Pinset. Pasukan yang digeruni pihak lawan kerana penguasaannya dalam coxless four dan coxless pair. Namun jarang kita mahu ambil tahu siapa lagi krew di dalam pasukan coxless four Great Britain.


Faktor penguasaan GB dalam coxless four adalah adanya krew seperti Sir Steven Redgrave yang bertindak sebagai pemangkin pembentukan krew. Krew yang berpengalaman dan kuat banyak membantu jurulatih GB memantapkan koordinasi dan penyelarasan latihan mahupun kekuatan. Ketika Sir Steven Redgrave bersara, tugasnya di galas oleh Matthew Pinset dalam mempertahankan penguasaan GB. Seterusnya, dengan persaraan Matther, tinggal Steve William merupakan satu-satunya krew coxless four yang masih kekal. Seperti sebelumnya, Steve William menjadi tumpuan pasukannya dalam pembentukan coxless four yang baru. Beliau menjadi rujukan utama dalam pembangunan pasukan tersebut.

Baru-baru ini dalam artikel berita yang dipetik dari http://www.worldrowing.com/, Steve William menyuarakan hasrat untuk bersara dari pasukan kebangsaan. Perjalanan kariernya bukan mudah apabila pasukan coxless four yang dianggotainya melalui liku-liku sukar setelah gagal mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Dunia (World Rowing Championship) pada 2007 yang berlansung serentak dengan pemilihan sukan Olimpik. Pasukan beliau hanya mendapat tempat keempat. Tidak berada di tempat teratas sepertimana tradisinya memberi tamparan hebat kepada pasukannya. Begitu juga tahun seterusnya 2008 dengan cabaran Sukan Olimpik Beijing yang semakin hampir ditempuhi dengan sukar. Namun, ketika di Beijing mereka berazam tiada ruang untuk kesilapan. Berada di belakang krew pasukan Australia di sepanjang perlumbaan peringkat akhir, krew Steve Wiliam mengerah seluruh tenaga. Hanya di kedudukan 250m sebelum perlumbaan berakhir, pasukannya berjaya menggandakan kuasa dayungan bagi mendahului perlumbaan sekaligus merangkul pingat emas.


William mengakhiri karier 11 tahun bersama sukan rowing dengan empat kejuaraan dunia dan dua kejuaraan Olimpik. Beliau merancang menjadi penceramah motivasi selepas persaraannya. Begitupun, beliau telah kerapkali dijemput memberikan ceramah di seminar korporat dengan tema yang sudah terkenal,‘winning in tough times, leading in tough times’.

Antara anugerah yang mengiktiraf kejayaan beliau adalah:

  1. OBE ( Order of the British Empire ) – 2008 Olympic champion 2008 in M4-
  2. FISA Male Crew of the Year – 2004 Olympic Champion 2004 in M4-
  3. MBE ( Member of the British Empire ) – 2004 Olympic champion 2004 in M4-

Biografi dan pencapaian beliau boleh di lihat di sini Perhatikan catatan masa yang direkodkan.

Leave a Comment