Skip to content

Month: July 2018

A atau Mati: Bukan pilihan yang adil

A atau Mati: Bukan pilihan yang adil

Aman Wan

RM 10.00 / RM 12.00 (Sabah & Sarawak)

ISBN: 9789672040392

Tahun terbit: 2018

Jumlah muka surat: 119 (tidak termasuk kulit)

“Memang dia hina. Memang dia tak sempurna. Tapi kau mudah menghukum seolah-olah dia satu-satunya ahli neraka.

Apa kau tak pernah berdosa?”

Siapakah Maria yang membawa watak seorang kakak yang menjengkelkan dan bersifat mengokong adiknya, Ana? Karakternya yang tegas dan keras langsung membina tanggapan pembaca, mungkin Maria ini cemburukan adiknya sendiri. Lebih-lebih lagi bila Ana mengatakan Marialah punca ibubapa mereka meninggal dunia. Mengapa watak beliau sangat penting di dalam cerita ini?

Mustahil untuk memahami mengapa ada orang yang tidak pernah mempunyai rekod jenayah sanggup mengambil keputusan gila. Apa motifnya? Demi cita-cita atau terlalu berusaha membuktikan sesuatu?

***

Kisah ini sebenarnya membuat kita terkenang, bila kali terakhir kita mengambil peperiksaan? Adakah kalian masih ingat bagaimana perasaannya semasa menduduki peperiksaan besar itu? UPSR? PT3? Ataupun SPM?

Yang pasti, semua masih terbayang susunan kerusi dan meja di dalam dewan peperiksaan. Hawanya tegang. Dada pasti berdegup kencang. Senyap sunyi dan hanya kedengaran bunyi tapak kaki pengawas peperiksaan berlegar-legar dari meja ke meja. Sesekali kedengaran bunyi keriuk kerusi ditolak oleh pelajar yang bangun untuk meminta diri ke tandas.

Namun kali ini suasana peperiksaan yang digambarkan oleh penulis lebih dahsyat. Seperti tajuk buku ini, mereka hanya punya dua pilihan, A atau MATI.

Apa kaitan antara ikatan kekeluargaan antara Ana dan Maria dengan peperiksaan untuk penjenayah juvana ini? Kenapa hubungan adik-beradik diberikan penekanan serius?

***

Kita selalu dimomokkan dengan kenyataan keputusan peperiksaan akan menentukan hala tuju masa depan.  Semasa bergelar pelajar, kita semua merasa bahangnya. Bila sampai giliran kita yang menjadi ibubapa, debaran yang sama dilalui tetapi rentak degup jantungnya lebih kencang. Secara tidak sedar, ibubapa meletakkan anak-anak mereka di pinggir depresi yang boleh mengundang bahaya.

Saya kira, inilah antara mesej penting yang disampaikan oleh penulis. Bila kehidupan pelajar yang berorientasikan keputusan peperiksaan merampas momen-momen penting yang patut dibina bagi membina jatidiri sebenar.

***

Persepsi saya ketika membaca buku mula-mula membaca buku ini adalah sebuah kisah juvana yang berorientasikan isu masyarakat yang terlalu mementingkan keputusan peperiksaan. Saya tidak menyangka akan dihidangkan dengan cerita dunia distopia. Lantas, saya membuat perbandingan filem yang mempunyai elemen sama di dalam jalan cerita buku ini. Ianya tidak terlalu keras seperti filem “The Purge” atau plot yang rumit seperti “Divergent”. Berkadaran mengikut sasaran pembaca remaja.

***

Membaca buku ini menmbuatkan saya teringat bait-bait kata dalam puisi karangan Usman Awang,

“Suatu bangsa tidak akan menjadi besar, tanpa memiliki sifat kurang ajar.”

Penulisan kreatif menjadi medium menambah kekuatan jiwa remaja. Mendekati jiwa-jiwa yang selalu keliru dengan tekanan peperiksaan, harapan ibubapa yang menjulang berselang seli pula dengan pergelutan jiwa untuk mengecap kebebasan. Paling popular, cinta dan keterujaan yang datang dalam pakej yang sama tatkala hormon dalam tubuh remaja ini melonjak-lonjak semahunya.

Tiada siapa memiliki kawalan seratus peratus terhadap kesilapan demi kesilapan yang bakal dicipta anak-anak remaja ini. Bukan guru disiplin, pengawas, pengetua apatah lagi ibubapa. Menteri Pendidikan pula jauh sungguh untuk dicapai cabang komunikasinya.

Pendapat peribadi saya buku ini dan yang seumpama dengannya adalah satu-satunya komunikasi secara terus. Penulis cuba menyampaikan mesej kebaikan tanpa elemen mengajar-ngajar. Bahawa satu kesilapan bukan bererti pengakhiran kehidupan bahkan ianya menjadi satu lencana yang ditempa supaya mereka sentiasa ingat lantas tidak mengulangi kesilapan yang sama. Mempersiapkan remaja tentang dunia, tentang mereka.

Remaja wajib diberikan pemahaman tentang sebab dan akibat, bahawasanya apa jua keputusan yang diambil pasti memberi natijah pada keseluruhan. Diri sendiri dan orang lain. Secara umum pada bangsa dan agama.

***

Aman Wan menyampaikan mesejnya dengan baik dalam buku ini.  Pendapat peribadi saya ini bukan semata-mata bersandarkan kepada 14 buah buku yang telah ditulis olehnya. Namun, secara peribadi kisah yang ditulis di dalam buku ini menjentik halus tentang peri pentingnya sebuah kasih sayang antara dua saudara secara khusus. Konteks lebih besar tentunya sistem pendidikan dan persepsi masyarakat.

Setiap plot dan konflik di susun secara baik. Setiap satunya diselesaikan dengan bijak. Ada konflik kecil yang selesai segera. Kemudian bercantum dengan konflik utama yang menyimpulkan segala cerita. Sela antara plot dan twist mendatangkan debar pada pembaca dan kelajuan jalan cerita pula secukup rasa.

Gaya penulisan Aman begitu memberi kesan. Ia bukan kisah yang biasa-biasa bahkan kisah dari hati ke hati dari seorang kakak kepada adiknya yang selalu cepat menghakimi sebelum sempat mengetahui punca. Kekesalan yang akhirnya memakan jiwa.

***

 BLANK vs. BLINK

Selepas lebih 5 tahun tahun beroperasi dengan cemerlang sebagai agensi utama bidang penerbitan dengan sasaran pembacanya adalah sekolah rendah, BLINK memutuskan untuk meneroka pasaran baru. Pelajar sekolah menengah yang lebih sinonim dengan isu-isu kontroversi, pemberontakan awal fasa remaja dan kehendak pasaran yang mahu dihidang dengan isi buku yang lebih relevan maka  BLANK dilahirkan. Lebih bersifat leverage kerana pengerusi kumpulan BLINK dilihat cuba mengoptimakan sumber sedia ada, BLANK dilihat berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik.

A atau MATI adalah salah satu daripada empat buku dibawah label AKADEMIK THRILLER yang telah mendapat sambutan baik oleh pasaran dilancarakan semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2018. Rekod paling pantas diulang cetak dalam masa 40 hari menambah keyakinan BLANK untuk terus memasarkan produk dalam tema yang serupa. Setiap buku yang dihasilkan bukan calang-calang dan semberono di bawa masuk untuk menjadi bahan bacaan pelajar-pelajar sekolah.

Novel A atau MATI ini dengan garapan kisah yang sangat baik, boleh menjadi rujukan yang bagus untuk penulis muda memulakan karya mereka. Seterusnya menjadikan karya mereka lain daripada yang lain lalu melangkaui apa yang telah terhasil di Malaysia setakat ini.

BLINK dilihat sebagai satu-satunya rumah penerbitan yang berhasil melahirkan kumpulan penulis yang mencatat rekod penerima royalti paling tinggi di Malaysia dan BLANK akan menyusul sebagai satu lagi cabang pasaran yang bakal menjadi laluan wang jualan yang lumayan.

Sebagai pembaca, saya menerima garapan karya ini sebagai bahan bacaan untuk anak-anak saya kerana saya percaya anak saya mampu menghadam mesej yang disampaikan. Sekaligus membantu menyediakan anak saya untuk mendepani dunia remaja dengan nilai-nilai yang teguh.

Sebagai penulis, saya menyahut cabaran menulis genre thriller remaja dan buku ini sebagai satu tanda aras.

Leave a Comment