Skip to content

Putar Giling Bahagian 2

“Apa cerita anak dara Datin Zam, mertua kau yang lari ikut lelaki korea tu?”

Niya menoleh ke arah mak sekilas sebelum kembali menumpukan pandangan pada beras yang diisi di dalam kelongsong daun kelapa.

“Belum balik lagi.”

“Dia kan banyak duit. Kenapa tak ke Korea dan cari anaknya, dibawa balik?”

“Sudah, mak. Mama upah orang ke sana untuk cari Mimi tu. Tapi anaknya yang tak mahu balik.”

“Ya Allah.”

“Itulah, kecoh bila mama pengsan dengar berita tu. Mimi tu anak dara kesayangan dia, mak.”

Niya teringat ketika ibu mertuanya pernah menjerit pada Mimi apabila menerima bil kad kredit yang melambung tinggi. Entah bila dia curi kad itu dari dompet ibunya.

Gadis berusia 19 tahun itu hanya tahu bersuka ria bersama teman-teman sebaya. Setiap malam keluar dan pulang awal pagi. Dihantar belajar ke kolej swasta, namun tak pernah berminat untuk hadir kuliah langsung.

“Apa lagi ikhtiar mertua kau?” Mak bertanya lagi pada Niya sambil mencampakkan kelongsong daun kelapa yang telah siap dianyam menjadi ketupat ke dalam besen.

“Entahlah mak. Terdengar hari tu mama ada sebut-sebut PUTAR GILING.”

“PUTAR GILING? Apa bendanya tu?”

“Niya pun baru tahu bila tanya abang Zain. Dia kata memang maknya selalu jumpa dukun Rosli minta bantuan. Dukun ni pakar cari barang hilang.”

“Manusia pun boleh ke?”

“Boleh katanya. Dia seru suruh balik. Tapi abang Zain cakap, ilmu ni ada keburukannya.”

“Apa dia?”

“Orang yang diseru, kalau tak dapat balik akan gila.”

“Masya’ Allah!”

Mak geleng-geleng kepala.

“Eh, Niya! Entah-entah, si Fawwaz tu pun kena PUTAR GILING dengan mertua kau!”

“Ish! Apalah mak ni? Takkan seorang nenek sanggup nak sihirkan cucu sendiri?”

“Habis tu, kenapa anak kau macam tak kenal ibu kandung? Menangis berteriak sepanjang malam sampai kau terpaksa pulangkan dia balik malam tu juga ke rumah Datin Zam tu?”

Niya pegun. Matanya merenung beras yang memutih di dalam besen. Semakin lama semakin dalam. Hatinya membara. Darahnya mula menggelegak. Tak semena-mena air mata menitis laju membuatkan dadanya sesak.

#dilemmawanita
#spoiler
#novelmistikakandatang
#skripdrama
#putargiling

Published inJom Menulis

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *