Skip to content

Month: July 2019

Membida Laut

Sayang sedeli permata buana
Pasirnya putih laut membiru
Terkenang hati ditinggal di sana
Budi Tuan buat kami terharu

Kalau ada sumur dalam airnya
Kepingin sungguh berendam kaki
Kalau ada umur dan jodohnya
Kepingin sungguh bertemu lagi

~MN, 16 Mar 2019, Klang

Bila menulis artikel berkisar topik laut, saya selongkar galeri di dalam telefon bimbit. Teringat kenangan menjelajah pantai timur di selatan semenanjung. Aduhai, ruginya… hanya beberapa keping gambar itupun tak bersungguh. Kalau tidak kerana Program Jelajah Sekolah bersama Blink Books, saya takkan sampai menjejak kaki ke sini.

Tanjung Sedeli, Kota Tinggi.

Berharap sangat dapat kembali.

Leave a Comment

“… KISAH BUDAK ASRAMA: BAHANA MULUT TAK ADA INSURAN…”

Dua tahun duduk di asrama sekolah teknik, macam-macam cerita menarik timbul. Yang lucu, yang seram, yang pedih semua ada. Salah satu ceritanya adalah macam cerita di bawah ni.
Antara perkara yang menjadi kelaziman bagi penghuni asrama puteri ialah kami akan beramai-ramai membaca yassin sebelum tidur. Berkumpul di tengah-tengah dorm dengan diapit katil berkembar di kiri dan kanan, kami duduk dalam satu bulatan. Usai membaca, kesempatan itu diambil untuk kami bersembang sebelum warden bertugas melakukan rondaan dan melibas rotan di pintu kamar memaksa kami masuk tidur.
 
Namun ada peristiwa di satu malam di mana langit ketika itu gelap tanpa cahaya bulan. Lampu-lampu dorm sudah dimatikan, yang tinggal hanya lampu di kaki ima. Kami masih berlonggok sambil bersembang tentang kes pelajar ponteng yang dirotan di perhimpunan pagi tadi.
 
Mula-mula masih kedengaran derap tapak kaki dan suara pelajar yang berbual-bual pulang dari bilik mandi. Kebetulan pula kamar kami paling hujung dan bersebelahan tandas. Lama kelamaan suasana menjadi senyap sunyi di luar. Warden juga malam itu tidak meronda seperti biasa menyebabkan kami tidak menyedari waktu sudah semakin lewat.
 
Sedang rancak berborak, perbualan kami terhenti apabila terdengar ayam berkokok kat luar dorm. Bagai malaikat lalu, suasana berubah menjadi sunyi.
 
Hati aku rasa tak sedap. Degup jantung mulai kencang membuatkan aku mula merangkak menaiki katil.
 
Tetapi memang malam itu malam cari nahas. Ada pula yang bersuara memecah kesunyian.
 
“Ayam berkokok tanda hari mau siang.”
“Ayam berkokok tanda hari mau siang.” kata Ema sambil ketawa.
 
Aku menepuk dahi.
 
“Shhhh..” Mona menjegilkan bebola mata ke arah Ema sambil menekap jari telunjuk ke bibirnya.
 
“Eh.. apa suhhh.. suhhh. Kan orang tua kata ayam berkokok malam-malam tanda turun rahmat.” Ema melawan.
 
“…Mulut Mak Limah betul kau ni. Malam-malam macam ni jangan tegur benda-benda pelik, boleh?” Si Mona tak habis membalas.
 
“Eh… Betullah. Pakcik aku cakap. Kalau dia bohong, maknanya aku bohonglah.”
 
“Shhh… diamlah!”
 
Bahagian selepas itulah yang paling haru-biru.
 
Ayam yang berkokok di luar asrama itu tiba-tiba berkokok lagi.
 
Mula-mula sayup saja kedengaran bunyinya. Selepas tu makin lama semakin kuat dan semakin dekat. Bersahut-sahut.
 
Aku dengan budak-budak dorm dah berpandangan sesama sendiri. Ada pula yang tarik lengan aku sambil memeluk erat. Ada yang sudah melutut mengigit semua jari sambil mata meliar tengok atas bawah depan belakang.
 
Ayam itu masih berkokok lagi.
 
Mujurlah Kak Nana, seorang kakak paling senior dengan tudung paling labuh terus mengetuai bacaan ayat kursi. Yang lain-lain tunggang langgang mengikut baca dengan mata meliar ke sana ke mari. Ada yang sudah menggigil sehingga berlaga gigi.
 
Bunyi ayam berkokok itu semakin lama semakin kuat tanpa tanda mahu berhenti. Kokokan itu semakin jelas sehingga betul-betul di depan pintu kamar kami.
 
Aku dah melopong menunggu masa pintu itu terbuka, membayangkan rupa bentuk mahkluk berjambul atas kepala yang akan muncul depan kami. Adakah kami akan dipatuk atau disergah, semua kemungkinan terbayang di mata aku.
 
Namun sebaik sahaja kakak Nana menghabiskan bacaan barisan ayat kursi yang terakhir, kokok ayam itu terus lenyap. Senyap.
 
Sunyi.
 
Sepi.
 
Seorang pun tidak berani membuka mulut. Seorang demi seorang bubar dan merangkak naik ke katil, cepat-cepat tarik selimut dan cuba tidur. Siapalah sangka ayam berkokok pun boleh bikin seram!
 
Aku? Sudah berselubung di dlam selimut. Phewwww… sempat pula aku menyumpah-nyumpah di dalam hati. Mulut siapalah tadi yang lancang sangat tadi. Aku pula yang merana tak boleh lelap. Tak sabar tunggu azan subuh nak berkumandang.
 
Yang pasti, aku berdoa keras di dalam hati. Tidurlah terus, jangan terjaga sampai pagi. Tak mahu berulang kisah misteri itu lagi. Ada pulak setan yang mencangkung di tengah-tengah dorm sambil menyanyi.
 
“Satu dua tiga leburrrr, semua lena tidur berdengkur,
Terbang tinggi burung tekukurrrr,
yang dah bangun tu tak payah nak pura-pura tidur”
 
Makkkkkkk!!!!!!!!
 
#seramistik #puakaasrama
Leave a Comment