Skip to content

Month: August 2019

Putar Giling Bahagian 2

“Apa cerita anak dara Datin Zam, mertua kau yang lari ikut lelaki korea tu?”

Niya menoleh ke arah mak sekilas sebelum kembali menumpukan pandangan pada beras yang diisi di dalam kelongsong daun kelapa.

“Belum balik lagi.”

“Dia kan banyak duit. Kenapa tak ke Korea dan cari anaknya, dibawa balik?”

“Sudah, mak. Mama upah orang ke sana untuk cari Mimi tu. Tapi anaknya yang tak mahu balik.”

“Ya Allah.”

“Itulah, kecoh bila mama pengsan dengar berita tu. Mimi tu anak dara kesayangan dia, mak.”

Niya teringat ketika ibu mertuanya pernah menjerit pada Mimi apabila menerima bil kad kredit yang melambung tinggi. Entah bila dia curi kad itu dari dompet ibunya.

Gadis berusia 19 tahun itu hanya tahu bersuka ria bersama teman-teman sebaya. Setiap malam keluar dan pulang awal pagi. Dihantar belajar ke kolej swasta, namun tak pernah berminat untuk hadir kuliah langsung.

“Apa lagi ikhtiar mertua kau?” Mak bertanya lagi pada Niya sambil mencampakkan kelongsong daun kelapa yang telah siap dianyam menjadi ketupat ke dalam besen.

“Entahlah mak. Terdengar hari tu mama ada sebut-sebut PUTAR GILING.”

“PUTAR GILING? Apa bendanya tu?”

“Niya pun baru tahu bila tanya abang Zain. Dia kata memang maknya selalu jumpa dukun Rosli minta bantuan. Dukun ni pakar cari barang hilang.”

“Manusia pun boleh ke?”

“Boleh katanya. Dia seru suruh balik. Tapi abang Zain cakap, ilmu ni ada keburukannya.”

“Apa dia?”

“Orang yang diseru, kalau tak dapat balik akan gila.”

“Masya’ Allah!”

Mak geleng-geleng kepala.

“Eh, Niya! Entah-entah, si Fawwaz tu pun kena PUTAR GILING dengan mertua kau!”

“Ish! Apalah mak ni? Takkan seorang nenek sanggup nak sihirkan cucu sendiri?”

“Habis tu, kenapa anak kau macam tak kenal ibu kandung? Menangis berteriak sepanjang malam sampai kau terpaksa pulangkan dia balik malam tu juga ke rumah Datin Zam tu?”

Niya pegun. Matanya merenung beras yang memutih di dalam besen. Semakin lama semakin dalam. Hatinya membara. Darahnya mula menggelegak. Tak semena-mena air mata menitis laju membuatkan dadanya sesak.

#dilemmawanita
#spoiler
#novelmistikakandatang
#skripdrama
#putargiling

Leave a Comment

Putar Giling Bahagian 1

“Yeay.. Yeayy.. Kak Niya datang! Yeay.. Yeayyy!”

Bersorak riang kanak-kanak berumur lima, tujuh dan lapan tahun meluru keluar di halaman rumah berkaki ayam apabila menyedari kemunculan kereta Honda Civic yang dipandu oleh suami Niya, Zain.

Niya memaksa senyum sambil mengerling ke arah suaminya yang mendengus. Adik-adiknya menerpa ke arah cermin kereta. Tangan mereka yang berminyak melekap sambil melambai-lambai, meninggalkan kesan di cermin kereta yang baru dicuci itu.

“Adik-adik awak ni memang selekeh sepanjang masa agaknya. Ishhh…. Saya baru cuci kereta tahu tak?”

Niya buat-buat pekak hanya membalas lambaian dan membuka pintu kereta. Ketiga-tiga adiknya dipeluk rapat ke tubuh sambil dicium tanpa rasa jijik. Satu persatu pipi mereka dipegang sambil tangannya mengelap cairan hidung yang meleleh jatuh. Yang tinggal hanya kerak hingus.

“Kak Niya beraya di sini ya?”

“Mana Fawwaz, kak?”

“Anim nak main dengan Fawwaz lah kak. Anim rindu.”

“Ajul pun rindu, kak. Mana Fawwaz?”

Bertalu-talu soalan dari mulut adik-adiknya yang masih kecil itu membuatkan hatinya dipanah rasa pedih. Bagai ditikam bertalu-talu. ‘Anim dan Ajul rindu? Kakak dah mati menanggung sendu.’ Niya menangis di dalam hati.

“Fawwaz tak ikut balik. Fawwaz duduk dengan nenek dia di KL.”

Adik-adiknya melepaskan pelukan dan berjalan longlai kembali ke dalam rumah. Niya hanya mengekori langkah mereka. Di pintu masuk, adik perempuannya, Linda yang sudah meningkat remaja menegur.

“Hmm.. Memang tak ada harapan langsung nak beraya dengan Fawwaz kan? Nak jumpa susah. Langsung tak pernah tidur sini.” keluh Linda sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Linda, sudahlah. Kau tahu apa? Kau rindu anak sedara. Kak Niya rindu anak sendiri. Mana lagi berat? Jangan sapu garam di luka, boleh?” tiba-tiba Mak muncul menyambut Niya di muka pintu.

Niya menghulurkan salam. Mencium tangan ibunya yang sudah mula berkedut. Air matanya menitis tak tertahankan.

“Sudah. Sudah. Masuk. Kejap lagi nak berbuka. Tidur sini kan malam ni? Mana Zain?”

Mak menepuk bahu Niya mendorongnya masuk ke rumah lalu keluar menyambut menantu sulungnya itu.

Niya hanya tunduk dan berjalan ke dapur. Linda berjalan beriringan dengan kakaknya.

“Bestnya kakak beraya di sini. Malam ni kita buat biskut ya kak?”

Niya tidak menjawab dan terus membuka tudung periuk melihat isinya. Ada sup ayam kampung sedang mereneh.

“Hmm… Kalau dah monyok macam tu memang tak ada harapanlah jawabnya. Macam tahun-tahun sudah. Lepas buka akak balik KL kan?”

Niya mencapai pisau di atas meja dapur lalu menghabiskan kerja mak menghiris bawang di atas papan pemotong.

“Kesian, mak dan abah. Tak dapat beraya dengan cucu lelaki yang seorang tu. Nak beraya dengan anak perempuan pun susah.” Linda belum mahu berhenti mengomel sambil tangannya mencapai kentang dan besen kecil di kabinet dapur.

Perlahan-lahan kentang itu dikupas.

“Sudah 4 tahun akak tak beraya dengan kami. Nampak gaya memang tak ada harapan lah tahun-tahun hadapan pun. Abang Zain ni kejamlah!”

Mak muncul di muka pintu dapur. Berdehem. Mata mak berkaca-kaca.

“Jaga mulut tu Linda.”

Mak mendekati Niya. Pisau di tangan Niya diambil.

“Sudahlah. Pergi berehat. Jalan jauh kan? Nak balik pula lepas buka nanti, mesti penat. Pergi depan duduk dengan Abah, tolong anyam ketupat.”

Niya menurut. Kepalanya terasa berat dengan pelbagai isu. Wajah Fawwaz bermain-main di fikiran. Langkah kakinya terus dipaksa ke depan.

Abah sedang duduk di beranda ditemani Zain ketika Niya menjenguk. Tangan abah pantas menganyam pucuk daun kelapa.

“Malam ni abah masak ketupat ni, ya. Boleh bawa balik KL. Zain kata dia nak tunggu ketupat abah. Mari sini tolong anyam.”

Abah tersenyum ria.

Niya memandang Zain yang memusingkan bebola mata dengan rasa kurang senang. Tangannya disilangkan ke dada lalu menggelongsorkan tubuhnya di kerusi sofa itu. Terus memejamkan mata.

Niya duduk di lantai, bersentuhan kaki dengan lelaki yang dipanggil abah itu. Tangan abah dikaut dan dicium lama.

Abah hanya tersenyum. Menyembunyikan perasaan.

#dilemmawanita
#fawwaz
#nextdrama #nextpuaka
#putargiling

Leave a Comment