Skip to content

Category: Uncategorized

Tonton: Black Panther 2018

“I would make a great queen because I am stubborn — if that’s what I wanted.” Nakia, Wakanda.

#spoileralert

Filem ini secara teknikalnya meletakkan Putera T’Challa sebagai watak utama, namun bila menonton babak pertama sahaja jelas dipertontonkan skuad wanita-wanita berkuasa yang telah menyemarakkan kemajuan The Kingdom of Wakanda.

Samada aksi Okoye menumpaskan musuh dengan lembingnya atau Shuri dengan ciptaan baju perisai yang boleh menyerap-lontar tenaga kinetik mahupun Nakia, wanita bervisi terkehadapan yang dicintai T’Challa dan telah mengembalikan raja ini ke singgahsananya.

Wanita-wanita WAKANDA dalam filem Black Phanter #marvelcomics ini telah memberikan impak yang kekal bergentayangan di layar minda walaupun tabir sudah diturunkan.

Nampaknya kebangkitan kuasa wanita seperti dalam siri “Games of Throne” terus menular.

Salam hari wanita sedunia!

Leave a Comment

Ulasan buku: Macedonia ~ Alexander Agung : Hijab Raja Zulqarnain

Alhamdulillah…. usai membaca Macedonia ~ Alexander Agung : Hijab Raja Zulqarnain! Benar-benar bermanfaat dan menarik perhatian. Saya tidak sabar untuk menghabiskan pembacaan sehinggakan lunyai buku ini saya kelek ke hulu ke hilir. Kemuncaknya, saya habiskan bacaan ketika mertua sibuk mengemas setelah selesai majlis pertunangan adik ipar. Menantu contoh sungguh… opss! Baik punya cover. Sambil tidurkan anak perempuan saya yang baru berumur setahun, saya belek helaian demi helaian terakhir.

Fuhhhh.. memang pengembaraan minda ke dimensi yang lain. Takjub dengan pembawaan Tuan Web Sutera. Karya pembuka mata dan jiwa. Siapa sangka karakter Alexander yang dipaparkan di layar perak itu bertentangan sekali dengan yang diceritakan dalam kitab Al-Quran. Hujah-hujah yang dibentangkan secara naratif mampu membuat menguatkan keinginan seseorang untuk mencari kebenaran. Padanlah ada yang benar-benar terkesan dan menerima hidayah.

Tidak dapat disangkal, ianya adalah sebuah novel di mana ada adaptasi dan tokok tambah untuk menyedapkan jalan cerita. Tetapi saya suka ambil isinya. Isinya tetap berlandaskan kebenaran. Pengaruh novel sejarah seperti ini pernah menyebabkan mahasiswa menggunakannya sebagai bahan rujukan (cerita benar ini! karya Dr. FT). Sudahnya, zasss… kena pancung dek pensyarah. Samada boleh atau tidak dijadikan rujukan, itu perdebatan di lain waktu.

Bab kegemaran saya adalah berkenaan Yakjuj dan Makjuj kerana saya tidak banyak ketemu bahan ini. Sungguh! Sungguh takjub. saya bersetuju dengan hujah Alexander Agung itulah Raja Zulqarnain.
Tahniah, Tuan Web Sutera. Tahniah kerana berjaya membongkar hijab ini. Saya teruja untuk memburu bahan bacaan dari penulis lain berkenaan skop yang sama.

Leave a Comment

Projek!

Aku ada satu projek penulisan. Yang semenjak dua menjak ini agak terkedek-kedek untuk dilanjutkan. Aduh!!! Dugaan betul. Aku memegang tips teman-teman. Tulis.. tulis.. dan tulis… luahkan sahaja apa yang berlegar-legar di kamar fikiran. Tulis dan terus menulis….

Ah! Apa motif tulisan ini?

Kalut..

Kabut…

Bersambung di lain waktu….

Leave a Comment

Nak jadi siapa?

Aku selalu terbantut menulis sesuatu.. yang datang dari dalam diri. Bila ayat-ayat itu sudah terbina separuh, aku berfikir beratus-ratus kali. Untuk siapa? Kerana apa? Apa agaknya pandangan orang lain, kalau aku tulis begini? Ayat ini poyokah? Ayat ini sesuaikah? Lembut sangat? Atau mungkin terlalu kasar? Jika kasar, adakah ayat-ayat ini akan membolehkan punggungku disumbatkan ke penjara? Disoal siasat ISA? Hahahaha..

Ingin jadi siapa?

Bila aku teliti blog teman-teman, aku jadi cemburu. Terpamer identiti mereka elok terpampang. Ini AKU. Bukan ORANG LAIN. Inilah AKU yang sebenar. BURUK itu AKU. BAIK itu juga dari AKU. Jujur.. jujur sekali. Iya.. aku belajar juga dari yang lain. Jadilah diri sendiri. Di samping memelihara norma-norma dan etika menulis. Kerana KAU dipertanggungjawabkan oleh penulisan mu sendiri. Tanggung sajalah buruk dan baiknya.

Seperti yang lain, aku mahu ianya memberi impak. POSITIF terutamanya. Ingin ku paparkan sifatku sebenar tetapi mungkin aku bimbangkan cacat celanya. Juga bimbang jika impian itu jika dicanang-canang, tidak menjadi. Sering juga aku diusik teman-teman, ‘apa yang kau ingin buat, sebenarnya?’ atau ‘apa sahaja yang kau tidak pernah buat, mus?’ kadang kala lebih sadis, ‘macam-macam kau buat? Mana hasilnya?’

Kadang-kadang dapat juga aku menepis. Ayat biasa aku ucapkan (biasanya lebih santai dan menggunakan bahasa pasar), ‘untuk merasai nikmat kejayaan, seseorang itu perlu menempuh seribu kegagalan. Kerana daripada kegagalan, aku belajar akan kesilapan. Buat pedoman menuju kejayaan.’

Namun selalu juga aku terdiam, adusss.. darah mengalir perlahan-lahan kerana tikaman lidah itu tepat menusuk jantung dan hatiku menerbitkan luka yang akan diingati sampai bila-bila.

Mohon kabus kekeliruan di pundakku ini hilang di telan panasnya cahaya suria. Agar aku percaya dan yakin dengan tulisanku sendiri. Amin….

Leave a Comment

Indera Jugra ~ Hikayat Malim Jeman Bahagian I

Tersebutlah kisah sebuah negeri
Aman dan damai tidak terperi
Rakyatnya gagah bijak bestari
Indera Jugra nama diberi

Makmurnya negeri dilimpahi rahmat
Padi menguning tak putus berkat
Emas dan perak tak cukup disukat
Hasil ternakan dihitung tak larat

Demikianlah gurindam dan syair yang dilagu-lagukan pedangang lalu yang pernah singgah di negeri Indera Jugra sebelum mereka ke destinasi utama. Kemakmuran negeri itu menjadi sebut-sebutan dan melata dari bibir ke bibir sehingga keseluruh alam maya. Ramailah pedagang-pedagang dari negeri atas angin ingin mencuba nasib dan menikmati sendiri hawa udara Indera Jugra. Bentuk muka buminya yang luas, subur dan perlabuhannya terlindung dari angin ribut kencang menjadi pilihan utama pedagang-pedagang antarabangsa untuk singgah sambil bertukar-tukar barang dagangan. Kadang-kadang terdengar juga bidalan orang, negeri Indera Jugra ini seumpama tanjung perak. Ini kerana belumlah ia dapat menandingi kemakmuran semenanjung emas yang terletak di bawah garisan khatulistiwa itu.

Adapun kemakmuran negeri itu tidaklah semata-mata kerana hasil dagangan, tanaman mahupun ternakan. Bukan juga kerana hasil buminya yang melimpah ruah. Negeri Indera Jugra lebih dikenali kerana gemar mengadakan pertandingan dan permainan bagi menunjukkan kegagahan, kekuatan dan kebijaksanaan rakyat negerinya. Ibu negeri Indera Jugra bernama Indera Batu dibina semacam kawasan luas yang lengkap dengan bongkol-bongkol batu batan ditarah rapi buat keselesaan mana-mana punggung yang berlabuh di atasnya. Batu batan itu disusun bertingkat-tingkat dan memanjang sehingga enam ratus langkah jauhnya. Di sinilah rakyat dan pendatang dari negeri luar berhimpun apabila diadakan keramaian bagi segala macam jenis permainan.

Rakyat Indera Jugra sangat terkenal dengan ketangkasan mereka menunggang kuda, memanah dan berenang.

Leave a Comment

Baca @ anywhere: VT ~ Hilal Asyraf

Menerima satu lagi bingkisan dari pos laju kiriman UjanaIlmu. Kali ini agak terlewat sedikit, tidak seperti biasa. Selalunya hari ini order, esok dah dapat. Namun masih dalam lingkungan tempoh masa 2-3 hari seperti terma & syarat jual beli. Terkilan juga bila diskaun yang ingin diberi ditarik balik gara-gara aku mohon dibuat dua kali penghantaran. Maklumlah, gaji sebulan dua kali pembayaran. Awal bulan tentunya lebih banyak keperluan.

Tetapi tidak mengapa, berkorban demi ilmu. Demi buku. Demi isinya yang nyata tidak mengecewakan. Tiada unsur cinta kepada wanita, hanya cinta pada Allah. Biasanya, penerbit buku mahukan unsur cinta dalam penulisan supaya dapat menarik pembaca. Tetapi penulis ini berjaya menerbitkan aura tersendiri tanpa perlu campur aduk dengan konflik percintaan.

Berbalik kepada isi buku ini, sarat dengan pesanan, nasihat & dakwah. Semuanya disampaikan melalui penceritaan yang diadaptasi dari kisah benar Hilal Asyraf sendiri. VT atau volleyball team memaparkan kisah sekumpulan pelajar MARTI (Maahad Attarbiyah Al-Islamiyyah, Perlis) yang kehilangan arah dan tujuan. (p/s: padanlah karya islaminya kaya dengan hadis dan petikan ayat al-quran). Hanya satu persamaan yang mengikat mereka dengan kuat. Cinta mereka pada Allah dan sukan bola tampar. Pasukan bola tampar yang mulanya sangat goyah dan lemah ikatan sepasukan akhirnya teguh berkat bimbingan jurulatihnya, Ustaz Husam a.k.a Saiful Rahman. Kejohanan peringkat negeri diburu oleh mereka.

Menerapkan unsur bahawa sukan itu ibadah, buat aku rasa kecil sekali di sisi penulis muda ini yang baru berusia 21 tahun tetapi telah menghasilkan bermacam-macam karya. Nilai-nilai yang diterapkan sudah diguna-pakai berkali-kali oleh jurulatih-jurulatih sukan lain tempatan mahupun antarabangsa. Cara bermain dengan psikologi atlet penting bagi memantapkan keyakinan & komitmen individu mahupun kumpulan. Bezanya, ikatan kuat mereka disulami dengan …..

Bacalah buku ini. Penuh dengan konflik, terhibur dengan kelucuan, menarik dengan penerangan yang jelas tentang taktikal dan kemahiran bermain bola tampar. Susun atur buku setebal 511 muka surat ini lengkap dengan gambarajah di akhir helaian.

Ziarah juga ke blog penulis: http://ms.langitilahi.com/

Leave a Comment

Kelakar……

Komen ibu Syafiah Humairah (anak kecil yang didera dan dibelasah sehingga mati) apabila ditanya wartawan mengenai sifat teman lelakinya, “Emmm..sebenarnya dia seorang yang kelakar…..” buat aku tergolek depan tv.

Kemudian di slot TERJAH oleh Nas Ahmad, ketika isteri baru yang muda belia remaja pucuk bergetah kepada seorang artis diminta memberikan komen, kenapa si artis (yang pernah dipanggil papa ——) menjadi pilihan. Dia menjawab, “Abang.. dia seorang yang kelakar….” sekali lagi aku tergolek depan tv. Tetapi mata aku tidak lepas dari kaca televisyen itu, menanti-nanti apa ayat seterusnya….. bungkam.. tiada…

aik? Takkan itu sahaja keistimewaan seorang lelaki yang dipilih menjadi teman hidup? Takkan itu sahaja yang anda mampu gambarkan tentang pasangan hidup anda? Kelakar? Itu sahaja…

hahaha… kadangkala kita memang jujur tanpa disengajakan buat diadili oleh berjuta-juta penonton…..

Aku ketawa sambil menangis mengenangkan semua ini. Bertalu-talu ingatan aku ucapkan dalam hati. Ambillah iktibar.. ambillah iktibar… insaflah…. insaflah… kembalilah ke jalan-Nya…. kembalilah.

Leave a Comment

Bila arahan diterjemahkan….

Definisi: Mendayung merupakan sebuah olahraga yang menggunakan dayung dan berlangsung di atas sungai, danau, dan laut. Dalam teknik mendayung dengan oar hanya dikenal dua macam kayuhan yaitu dayung maju dan dayung mundur. Jika menginginkan perahu bergerak kedepan maka digunakan dayung maju sedangkan dayung mundur untuk menghentikan perahu yang sedang bergerak maju atau memang menginginkan perahu bergerak mundur. Jika ingin membelokkan perahu ke kanan maka tangan kiri mendayung maju dan tangan kanan mendayung mundur,dan sebaliknya jika ingin membelok kekiri.

p/s: Boleh guna ni! Ayuh…. anak kapal! Maju ke depan! Maju! Maju! Jangan mundur…. dayung terus!

sumber: Dari Wikipedia bahasa Indonesia, ensiklopedia bebas

Leave a Comment

Institut Pendidikan Guru Malaysia Sukan (IPGM Sukan)??

Sepintas lalu aku menyemak berita online Utusan, antara tajuk utama di bahagian sukan adalah “IPGM lahir jurulatih”. Barulah aku tahu akan kewujudan institusi ini. Tertanya-tanya juga adakah ianya baru, atau aku yang duduk di bawah tempurung?

Apapun, aku gembira dengan perkhabaran ini. Selangkah lagi kita ke arah melentur buluh biar dari rebungnya. Asas yang kuat datangnya dari pembangunan peringkat awal terutamanya untuk kanak-kanak. Namun sedih juga bila dibaca kenyataan ini “Seramai 320 calon jurulatih akan menjalani latihan merangkumi lapan bidang sukan bermula pertengahan tahun 2011,”. Apakah sukan-sukan lain tidak perlukan perhatian?

Sampai bila konsep membiayai pembangunan sukan teras ini akan dilaksanakan? Hanya sukan teras iaitu sukan-sukan yang pernah melahirkan jaguh-jaguh di peringkat antarabangsa. Persoalannya, adakah kita bercakap tentang isu ‘antara ayam dan telur, yang mana satu dihasilkan dahulu?’. Selagi persatuan sukan tersebut tidak menghasilkan medal, tiada peruntukan khusus akan diberi. Ketika inilah menggagau persatuan sukan mencari dana. Pelbagai aktiviti direncana bagi menghidupkan aktiviti sukan itu sendiri agar sentiasa punya aliran tunai untuk menampung kos penghantaran atlet ke pertandingan dan biaya kem latihan.

Bagi sukan mendayung, sukan yang telah sekian lama tersenarai dalam sukan Olimpik dgn rekod penyertaan kontijen kedua terbesar di belakang sukan balapan/olahraga (athletic) setiap musim. Nasib sukan ini di Malaysia belum terbela sepenuhnya. Usaha gigih ramai sukarelawan yang rata-rata golongan profesional mendokong Persatuan Mendayung Malaysia (PERDAMA) menghidupkan aktiviti ini belum terbayar. Tahun demi tahun, persatuan ini membangun dalam kepayahan namun penuh kejayaan di peringkat penganjuran antarabangsa mahupun tempatan.

Begitupun, pembangunan sukan ini di peringkat universiti begitu memberangsangkan. Saingan demi saingan yang tercetus mula menghasilkan atlet berkualiti dan berbakat. Di tambah pula dengan sokongan pihak universiti masing-masing dari segi biaya latihan & peralatan. Syabas diucapkan dan semoga terus maju jaya!

Salam Dayung!

Leave a Comment