Skip to content

Month: January 2010

Mewujudkan Zon Junior Rowing di perimeter Batu Dam

Perbincangan bersama ayahanda presiden minggu lalu banyak berkisar tentang aktiviti tahunan pendayung UTM. Ada juga selingan bilamana isu junior dibangkitkan dan masalah kekurangan tenaga pelatih bagi merealisasikan sasaran PERDAMA.

Pantas aku memetik nama Shahir yang kini mengajar di Sg Kertas. Sepertimana perbualan terakhir kami di hari persandingannya, hasrat membawa pasukan junior disuarakan. Aku gembira menjadi orang pertama menyokong.

Visi ayahanda jelas. Setelah mewujudkan zon junior rowing di Putrajaya, dia ingin melihat junior rowing dihidupkan juga di Gombak dan Selayang yang hampir dengan pusat latihan, Batu Dam. Kekangan utama adalah tenaga pelatih. Jika ada yang dapat memberikan khidmat, pastinya perancangan teliti dituntut.

Mesej ayahanda tegas. Apa-apa juga aktiviti yang ingin menggunakan kemudahan di rumah bot, Batu Dam perlu punya sasaran, program dan rancangan terperinci di atas kertas. Kemudian, pengesahan dan kelulusan Tuan Presiden paling utama. Komitmen yang disuarakan di belakangnya tidak memberikan apa-apa erti. Sukar diukur keikhlasannya.

Lambat-lambat aku semakin mengerti kenapa pasukan elit dayung yang lama rasa dikesampingkan. Aku cuma mampu berharap agar hubungan yang keruh dapat dijernihkan. Ada kesempatan dan ada peluang, aku ingin membantu memulihkan hubungan tersebut. Meski tembok tebal masih jadi penghalang.

1 Comment

Hujung Minggu

Waktu yang dinanti-nanti oleh semua. Waktu berehat. Waktu santai. Waktu bahagia untuk diluangkan bersama keluarga. Menikmati sarapan bersama Leo, anak, ibu mertua dan ipar duai. Hubungan yang rapat sentiasa disulami makan-makan, ziarah-menziarahi, cuci mata di Maju Junction, Jalan TAR, Subang Parade dan Ampang Park. Kadang-kadang sesat juga ke Pavilion menyelusuri kaki lima menjeling-jeling produk berjenama bersama harganya. Pantang juga ada promosi makanan yang enak-enak di restoran terkenal, kami tidak ketinggalan mencubanya seperti Cozy Corner di Ampang Park. Atau Restoran Anjung Merah di Subang, U3.

Pun begitu, benakku masih juga memikirkan hal anak-anak dayung. Seumpama ada ruang-ruang lompong yang minta diisi. Apatah lagi apabila topik perbualan sudah bukan tarikan dan perhatian aku. Ada sahaja persoalan yang menerawang minta diperhalusi. Jika begini, bagaimana ya? Jika begitu, apa pula harus kulakukan. Setiap wajah dan setiap tingkahlaku anak-anak dayung mengisi memoriku. Walhal, minggu-minggu sebelumnya sudah ku luangkan bersama-sama mereka.

Syukur juga mertuaku seorang yang memahami. Walau dalam diam aku sedar ada protes menggunung di dalam dirinya, tetapi tidak pula dia cepat melatah. Sekali-sekala ada juga disampaikan mesejnya melalui Leo, aku cernakan dan ku terima. Selebihnya, keluarga bersikap menyokong malahan turut serta menghantar ku ke dam. Sementara aku mengajar, mereka sempat pula mencuri masa ke Genting Highland.

Aku cemburukan masa dan jarak yang memisahkan kerana aku ingin sentiasa berada bersama mereka tanpa mengabaikan keperluan keluarga. Juga tuntutan kerja dan pencarian ilmu. Leo sering juga menyindir aku yang terkejar-kejar memenuhi nafsu kerja dan cita-cita. Terlalu banyak yang kukendong katanya. Bakal cepat tua. Jangan ada yang keciciran nanti. Sindirannya kadang-kadang keras, kadang-kadang dengan seloroh. Penerimaan aku kadang-kadang membentak, kadang-kadang memujuk mohon diberi sokongan.

Aduh… mohon kekuatan!

Leave a Comment

Ha.. Ha.. Ha….

Kembali rasional.. tajuk utama kontroversi KOAM…

Ingatkan dah berpolitik bertahun-tahun, tahu cara mengendalikan tekanan. Maklumlah… dulu masa jadi menteri besar semua manis belaka. Kentut pun bau wangi. Yang bawah, yang kiri dan yang kanan dok pulun mengipas. Tiada kritikan. Tidak pernah ditegur. Boleh lupa diri sekejap.

Jangan ingat orang boleh lupa sekelip mata respon anda yang kontroversi mengalahkan artis saman berjuta-juta ringgit bekas teman lelaki VIP yang mungkir janji daripada berkahwin dengannya. Baru juga saya perasan, gambar kemesraan bersama atlet Noraseela Khalid bukti kasih-sayang terhadap anak emas tidak berbelah bagi… Ha.. Ha.. Ha…

Seketika terdetik juga rasa keinsafan di hati. Resam Melayu bila sudah berada di atas. Lagi-lagi yang berada di atas itu pula berjaya dengan memijak-mijak kepala, kaki dan badan orang lain. Kesenangan yang diperolehi dengan mudah buat manusia senang lupa diri. Malah beranggapan wang mampu membeli harga diri dan kesetiaan seseorang. Gelap pandangan, gelap pertimbangan.

Benarkah kita tidak boleh lari dari rasuah? Benarkah wang itu segala-galanya? Oh! Segala-galanya boleh dibeli dengan wang. Tetapi wang tidak boleh membeli segala-galanya.

1 Comment

Ada member lepas geram…..

Mana boleh tahan kena tibai atas bawah depan belakang…. panggil media bantai balik! Salahkan MSN, salahkan pegawainya! Tuding jari ke sana.. tuding jari ke sini. Menggeletek kepanasan macam duduk atas bara api. Tapi bila tanya pasal siasatan SPRM terkunci lidah…???

“Masa dapat lebih 15 pingat emas di Korat dulu tidak pula highlight. Ini bila tidak capai target kurang 5 emas di Laos, seronok dia membantai kita.”

Aku tergelak menyaksikan asam garam dunia sukan yang dipolitikkan. Menggelinjang! Siap nak ajak bertomoi…. hehehe…

Sudah-sudahlah tu….

Leave a Comment

Sudah-sudahlah tu…..

Sedari awal aku sudah tercium ketidak ikhlasan ‘orang itu’ menerajui beberapa persatuan sukan. Rakus! Tamak! Ada hati pula mahu merampas takhta presiden Olimpik Malaysia dari Tengku Imran.

Satu persatu masalah tersingkap sehingga kain yang dilabuhkan, daun pisang yang ditimbunkan bagi menutup bangkai tidak dapat menyembunyikan kepincangan demi kepincangan.

Berita arus perdana malam tadi ‘orang itu’ dikepung wartawan yang meminta penjelasan. Apatah lagi SPRM mula menghidu dan mengintai-intai. Bermula dari kes di Olimpik Beijing, masalah gangguan seksual tiada tindakan diambil. Nasib atlet olahraga terumbang-ambing tanpa jurulatih, kurang pendedahan pertandingan antarabangsa serta tiada kesefahaman antara atlit dan persatuan. Roslinda Samsu aku kira sudah lama menahan sabar dengan kerenah mereka yang di atas. Begitu juga Noraseela Khalid.

Sudah-sudahlah menunjuk pandai. Persatuan sukan bukan tempat sebagai batu loncatan ke kabinet. Yang menjadi mangsa atlet. London 2012 bukannya semakin jauh bahkan akan tiba tanpa disedari. Di mana persiapan kita? Di mana tahap atlet kita sekarang ini? Serahkan sahaja kepada yang lebih arif. Sudah-sudahlah tu……

Leave a Comment

Perlukan kamera digital….

Menulis dan menerbitkan artikel di blog ini tanpa gambar seperti masak lemak tanpa garam… seperti meneguk sirap meru (sirap suam, merahnya jernih istilah yang dipinjam dari mak anjang). Jadi mahu tidak mahu aku mesti mendapatkan kamera digital.

Mungkin juga ini alasan untuk menyedapkan hati sendiri kerana tidak konsisten menulis di blog. Sedang fikiran aku selalu berputar-putar mengelilingi hidupku. Sewajarnya ia ditumpahkan ke laman ini supaya kemahiran menulis yang tumpul dapat di asah.

Esok, kem latihan di Batu Dam pertama untuk tahun 2010. Permulaan yang agak perlahan. Manakan tidak, UTMKL sahaja yang bakal berkampung. Anak-anakku di UTMJB tidak dapat hadir kerana konflik pengurusan. Aku kira bajet menjadi hal. Presiden kelab sudah menghubungi aku memaklumkan komitmen. Mereka bilang elaun latihan bukan menjadi keutamaan. Sanggup sahaja mereka berkorban. Ada bas mereka datang. Semangat mereka untuk merampas kejuaraan di Sukan MASUM nanti daripada UTHM menjadi azam. Aduh! Terharu menyaksikan kesungguhan mereka. Tidak mengapalah anak-anak! Minggu ini terlalu suntuk untuk pengurusan pengangkutan dan penginapan. Kita usaha minggu depan, ya!

Esok juga ada temujanji dengan Tuan Syafiq dan rakan-rakan baru. Kerdil rasa diri membandingkan diri dengan mereka. Sudah aku persiapkan profail diri dan draf dijilidkan sempurna agar mudah Tuan Syafiq meneliti hasil kerjaku. Jemputan ini sudah cukup gah bagi diriku dan menolak semangatku terus tinggi supaya gigih berusaha sehingga selesai.

Adakah Januari ini dapat aku lunasi tekad dan sasaran? Insya’ Allah

Leave a Comment