Skip to content

Tag: thriller

Ngopi bersama Iwan Reaz

Perbincangan kami tak boleh fokus. Sentiasa terbantut bila budak kecil yang comel berumur 1 tahun 8 bulan itu hilang dari radar penglihatan. Sambil bercakap sambil mata meliar.

Ada abang yang berumur 12 tahun dan kakak yang berumur 6 tahun main bersama si kecil. Tapi saya tahu saya tak boleh harap 100%. Mesti dipantau juga.

Selalu juga Liana menegur, ‘Mus, dah boleh fokus ke?’ cuba menarik perhatian saya kembali ke dalam topik perbincangan.

Rupa-rupanya bukan saya saja yang tak boleh fokus. Iwan pun sama. Naluri seorang bakal bapa agaknya, mata dia ikut meliar dan bangun mencari anak-anak saya yang seronok berlari-lari ulang alik di koridor itu. Dia berkongsi kegelisahan seorang ibu, saya kagum itu.

Kami bertiga cuba mencari tempat yang sesuai untuk berbincang dan akhirnya memilih kawasan tempat makan di tingkat 3. Kurang sibuk dan lebih lapang.

Ini kali pertama saya bertemu antara pemuisi dan novelis terhebat Iwan Reaz. Dia asyik membetulkan cara saya menyebut namanya. Hahaha.. dasar bahasa baku. Mana saya tahu ada unsur cool and kebaratan. Saya sebut sajalah mengikut telor lidah jawa saya ni.

Pemuda yang layak saya panggil adik ini mempunyai keperibadian tinggi dan sangat berpengetahuan luas. Latar belakangnya yang bekerja bersama BERNAMA saya kira banyak membantu. Cemburu sungguh bila mengetahui anak-anak muda sekarang punya sekian banyak peluang dan ruang untuk berkarya. Saya selalu kagum dengan hantaran puisinya di akhbar-akhbar tempatan. Pilihan kata-kata puisinya menyentuh hati di sudut paling dalam. Dan setelah bertemu, hati saya membuak-buak mahu lebih mengenali beliau.

Ternyata tidak menghampakan sama sekali. Barulah saya tahu dia telah membukukan sejumlah 51 puisi yang sebahagiannya didedikasikan khas untuk abangnya yang telah dijemput ilahi. Frasa ini memukau, “Dulu kita sepasang sayap. menongkah badai. bersilang tangan.” Terasa dekat sekali kerana sememangnya kasih sayang saudara kandung itu sudah penuh di dalam jiwa.

Terima kasih Liana Omar a.k.a. Leanne Adam, kerana memperkenalkan saya dengan individu yang unik ini. Teruja mahu bekerjasama dengan beliau. Kami ditakdirkan bertemu dalam kumpulan karya yang sama, Buku Puris yang dikelolakan oleh Chermin iaitu Cik Liana Omar sendiri. Ada beberapa kelemahan  dalam kerjasama penerbitan karya kali ini, jadi kami sepakat mahu memperbaikinya lagi demi kejayaan yang lebih signifikan.

Liana, si pemikir sudah siap siaga menyediakan pelbagai rancangan strategik untuk penulis-penulis yang mengambil khidmatnya. Beliau menjadi ‘mutual link’ yang menghimpunkan kumpulan penulis yang berpotensi untuk projek seterusnya. Banyak perkara yang dikongsikan bersama dan membuka laluan kerjasama di masa hadapan.

Kami tak sabar, Liana. Sedia untuk berjuang… Ayuh! maju terus….

Leave a Comment

Jom Sembang Buku: Aku Berdosa

Tajuk buku: Aku Berdosa – Pembunuh berusia 12 Tahun

Penerbit: Blink Book Sdn Bhd

Jumlah Halaman: 112 mukasurat

Penulis: Rashiela Nurain dan Shaya Ali

Penulis Blank Book
Buku: Aku Berdosa

 

Allah… Sesak nafas baca buku ini. Tahan punya tahan, pecah juga empangan air mata.

Selalu baca di dada akhbar tentang kes-kes juvana. Hanya mampu geleng kepala. Selalu doa, minta Allah jauhkan anak-anak dari kejahatan manusia, jin dan syaitan.

Hakikatnya, hati sentiasa bimbang…

Tahniah kepada penulis BLINK Book Rashiela Nurain dan Shasya Ali Blink. Kalian memang OARSOME!  Gaya penceritaan yang menyeronokkan. Bab pertama saja sudah cukup memancing supaya menghabiskan bacaan.

    Karya thriller remaja terbitan BLANK BOOK
Leave a Comment

Jom Sembang Buku: Puaka Pejabat

Segala pujian-pujian buat Yang Maha Esa dan syukur atas limpah dan rahmatnya.

Alhamdulillah.. seperti mana pengumuman yang saya  buat di dalam facebook minggu lepas (klik sini) buku pertama saya telah siap dicetak di bawah penerbitan yang terkenal dengan penghasilan buku sai fai dan fantasi iaitu Penerbit-X. Memang ceria sepanjang hari bila terima kotak kiriman buku-buku tersebut.

Selangkah ke arah mencapai impian sebagai Penulis Thriller Remaja – Bestseller! (Aminnn….)

Sebenarnya impian menulis ini sebenarnya telah bermula sejak kecil, namun hanya sekarang barulah impian ini tercapai. Walaupun buku ini sekadar antologi (baca: hantulogi) hasil gabungan tiga penulis saya tetap berpuas hati.  Saya menulis kisah Selendang Merah yang diilhamkan dari kisah benar yang diceritakan oleh kawan-kawan. Kemudian saya tambah sedikit lada sulah dan garam, supaya ceritanya lebih enak dibaca. Tambahan pula, tuan editor Zaki Zainol mahukan konsep cerita seram + komedi, atau acronyms nya adalah seramedi. Maka saya campak bunga lawang dan tumis bersama cili dan bawang. Hasilnya, alhamdulillah… editor puas hati. Sekarang berdebar menanti respon pembaca pula.

 Saya anggap buku ini sebagai teaser, pembuka kepada karya-karya saya selepas ini. Saya  memang mahu fokus pada genre thriller tetapi cabaran menulis novel seram ini saya sambut sebagai latih tubi mengasah kemahiran mengarang dan imaginasi. Dan sudah tentulah saya masukkan unsur-unsur thrill supaya pembaca ikut merasa debarnya.

Komen dari tuan editor banyak membantu melancarkan jalan cerita dan menghidupkan watak Hafiz dalam cerita ini.

Penerbit-X mahu mensasarkan pembeli dari golongan remaja. Oleh itu watak utama dalam cerita ini iaitu Hafiz sedang menjalani latihan industri manakala heroin cerita ini, Sarah seorang junior executive dalam sebuah syarikat konglomerat yang terkemuka di Lembah Kelang. Kisah puaka mengamuk di pejabat mereka bermula apabila ada entiti menyahut tangisan derita yang memanggil-manggil roh yang telah lama terbang meninggalkan jasad.

Sebuah kehilangan tidak boleh diganti dengan percuma. Ada galang gantinya. Bila ia melibatkan satu lagi nyawa, takkan mahu pejam sebelah mata. Lebih-lebih lagi nyawa yang terancam adalah belahan jiwanya.

Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku yang popular. Namun jika kalian mahukan yang eksklusif bersama autograf penulis, bolehlah tinggalkan komen di bawah.

Terima kasih atas sokongan kalian.

Selamat melayari misteri di dimensi mereka…

 

 

 

Leave a Comment