Skip to content

Tag: thriller

Ejen Dropship Blink Books

Assalamualaikum semua…

Sebagai penulis, saya sangka saya hanya perlu menulis buku. Duduk diam-diam dan kutip royalti di hujung tahun. Tapi hakikatnya industri buku makin lesu dan bersaing hebat dengan media sosial dan sumber hiburan yang senang dicapai secara online. Percuma pula.

Penerbit lebih terkesan dan satu demi satu mulai mencari jalan keluar serta menukar strategi.  Tawaran menulis juga berubah terma lalu menawarkan bayaran lump-sump selain royalti. Kemudian, demi survival penulis disarankan membantu menjual buku-buku sendiri. Didapati ramai pembaca lebih cenderung dan gembira jika dapat membeli terus dengan penulis.

BLINK books tidak terkecuali lebih-lebih lagi Pandemik COVID19 telah merubah kebanyakan kaedah pemasaran dan jualan. Program Jelajah Sekolah yang telah dijalankan secara aktif beberapa tahun sebelum ini tergendala tanpa jaminan bila akan dapat dilaksanakan semula. Tambahan lagi, SOP penjarakkan sosial yang perlu dilaksanakan membataskan perlaksanaan program ini dengan berkesan kerana kerajaan mahupun masyarakat umum sedar Pandemik COVID19 ni belum berjaya dihapuskan sepenuhnya.

CEO Blink Books, Tuan Syaizul Amal segera membina sistem ejen dropship dan menawarkan peluang ini pada penulis. 

Oleh itu, saya memberanikan diri mendaftar menjadi ejen dropship, suatu perkara yang saya tidak pernah lakukan. Tetapi saya berniat nak mencabar diri mendaftar menjadi ejen dropship untuk membuktikan pada yg memerlukan pendapatan sampingan bahawa ianya boleh dilakukan kalau tahu caranya.Lebih-lebih lagi dalam situasi PKP yang lalu saya melihat ramai (termasuk rakan dan ahli keluarga) yang terkesan & perlu lakukan sesuatu untuk cari dana tambahan bagi membantu.

Alhamdulillah.. Dalam masa 2 minggu saya berjaya menjadi Ejen PRO.

Kelab Ejen Dropship Pro Blink Book

Dengan rasa rendah hati, saya mohon sokongan rakan-rakan, kata-kata semangat pun jadilah buat penguat usaha.

Saya menjual buku-buku untuk anak-anak dari umur 6 tahun hingga 17 tahun.

Buku terbitan BLINK ini bagus untuk mengisi masa lapang anak-anak yang kebosanan di rumah.

BLINK adalah milik, Ain Maisarah, penulis no 1 novel remaja di Malaysia yang telah 12 tahun menulis 140 lebih novel. Insha-Allah, Ain Maisarah dikenali oleh kebanyakan anak-anak remaja.

Kumpulan penulis bersama Ain Maisarah

Selain itu, Ada 7 (TUJUH) sebab kenapa ibubapa patut beli buku-buku ini:-

  1. Buku-buku terbitan BLINK adalah buku-buku yang ditulis menggunakan bahasa melayu standard. Tiada penggunaan perkataan slanga, perkataan kontot, dan ejaan SMS.
  2. Buku-buku terbitan BLINK adalah patuh syariah, tiada plot yang berdua-duaan mahupun berpegang tangan, tiada plot lucah, tiada perkataan kasar seperti mencarut.
  3. Buku-buku BLINK dapat memperbaiki mutu penulisan karangan anak-anak. Ia menambah kosa kata anak-anak. Ada banyak kes, pembaca yang mendapat gred C Bahasa Melayu mendapat gred A setelah banyak membaca buku-buku BLINK.
  4. BLINK adalah syarikat peneraju pasaran novel remaja di Malaysia. Buku-bukunya berkualiti dan terbukti disukai oleh anak-anak tuan puan.
  5. Buku-buku BLINK tidak terjual di kedai-kedai buku sejak Jan 2019. Ia eksklusif dijual oleh EJEN-EJEN BLINK.
  6. Bagi setiap pembelian, ada hadiah buku percuma.Boleh lihat senarai buku-buku PERCUMA di sini: klik sini  BUKU HADIAH
  7. Buku-buku BLINK sangat bagus dan direkomen oleh IKON-IKON Guru Perpustakaan Kebangsaan.

Dalam simpanan saya ini ada buku-buku hadiah bernilai RM12 setiap satu yang saya akan berikan kepada 30 pembeli pertama yang membalas mesej Whatsapp saya ini.

Saya akan kongsikan KATALOG 83 judul buku yang ada. Semua bagus-bagus dan mempunyai mesej tersendiri yang dekat dan mesra dengan remaja. Penyampaian dalam novel yang ditulis dengan baik sekali yang berniat mengajak remaja berhijrah dan persiapkan diri dalam dunia yang sangat mencabar masakini. Bukan sahaja design kulit buku yang menarik, isinya juga bagai kan magnet.

Silakan LIKE page berikut: Ejen Dropship Blink Books

Atau mohon klik link whatsapp ini, saya akan bantu untuk dapatkan buku-buku yang laku keras ini. KLIK : Saya mahu beli buku BLINK BOOKS

 

Leave a Comment

Buku Baru BLINK BOOKS : Lesap Sejuta

Lesap Sejuta
Blink Books: Lesap Sejuta

“Anak ambil jurusan apa?”

“Kalau nak cerah masa depan… jadilah doktor.”

“Jurusan lain? Ish… janganlah! Biasa-biasa saja… tak dipandang hebatlah!”

Begitulah persepsi… majoriti ibu bapa berharap agar anak yang cemerlang memilih kareer doktor. Apabila memilih jurusan lain? Ibu tidak reda, orang lain pandang rendah, diperlekeh konon ia jurusan mudah.

Itulah cabaran seorang remaja yang minat matematik… takut pula dengan darah dan boleh pengsan jika diminta melihat katak dibedah.

Apabila dia bercita-cita menggantikan Gabenor Bank Negara… ibu sendiri tidak keruan.

Maka laluan menjadi akauntan terasa sukar.

Inilah novel tema kerjaya yang sangat membantu anak remaja melihat ruang lingkup lebih luas berbanding hanya memilih perubatan sebagai kerjaya utama.

Pada akhirnya, ilmu pengetahuan itu semuanya bermanfaat dan sepertimana tuntutan Islam… sesiapa berada di dalam majlis ilmu itu seperti berada dalam taman-taman syurga. Maka kejarlah berkat ilmu, bukan kerjaya.

Ini novel yang banyak informasi dan memberi inspirasi. Mari dapatkan sebagai bahan bacaan buat anak-anak, klik link berikut: Saya Mahu Beli Buku bertajuk LESAP SEJUTA

Leave a Comment

Memikat hati pelajar untuk rajin membaca

Blink Books
Blink Books Pilihan No. 1 Remaja

.
Ini bukan kerja senang terutama masa sekarang ini yang penuh dengan saingan.
.
Saingan dari buku lain? Eh tidak…
.
Saingan dari TV, internet dan games.
.
Jadi buku-buku yang diterbitkan sekarang mestilah mempunyai elemen-elemen WOW.
.
Cikgu-cikgu, pihak sekolah, atau ibubapa kadang-kadang tidak bersetuju dengan elemen ini.
.
Buku Thriller, buku seram, ini adalah trend terkini, 10 tahun yang lepas, trend Chic-lit.
.
Pelajar-pelajar kini cepat berubah citarasa hasil pengaruh maklumat dan persekitaran yang cepat berubah.
.
30 tahun dahulu bolehlah menarik pelajar membaca dengan buku Pak Pandir atau Hikayat Sang Kancil.
.
Sekarang kartun jenis GILA-GILA dengan mulut besar dan lubang hidung kembang mungkin sudah tidak menarik minat mereka lagi, mereka lebih sukakan kartun gaya MANGA.
.
Jadi kita sebagai penerbit kena cepat berubah, menawarkan sesuatu mengikut citarasa semasa.
.
Apa yang penting, kekalkan moral dan kebaikkan dalam setiap buku terbitan kita.
.
Ibubapa, guru dan sekolah, terimalah perubahan ini, berilah peluang buku-buku kami masuk ke sekolah-sekolah, hanya apabila ada gula barulah datang semut.
.
Kami sudah buktikan berkali-kali, guru-guru hairan pelajar mereka rajin meminjam buku hasil terbitan kami.
.
Insha-Allah, moga menjadi asbab, pelajar-pelajar rajin membaca buku-buku ilmuan pula.

Leave a Comment

Proses Kreatif sebuah Novel Juvana

“Kisah remaja yang terperangkap dalam jenayah”

Awal bulan September, sebuah rangka novel juvana diberikan untuk semakan. Kata penerbit, jika setuju boleh terus tulis dan hantar dalam masa sebulan.

Bulan September bulan yang penuh dengan kesibukan. Bulan Ogos yang lalu baru sahaja GO-LIVE sistem. Fasa kedua projek pula berganti, dijadualkan GO-LIVE 1 Oktober pula. Dalam masa yang sama kuliah semeter akhir sudah bermula.

Jadi proses kreatif novel ini berselang seli dengan pergelutan kerja dan tugasan kuliah. Belum serik nampaknya, saya curi-curi membaca proposal menulis skrip. (sudah mula draf sebenarnya… 🤭) Kalau saya ada kembar, pasti sudah kena tampar dan diazankan di telinga. Saya tak tahu kenapa saya nak buat semua serentak. Hahaha…

Setiap penulis mempunyai simptom yang hampir sama. Saya sendiri mengalami writers block, kemalasan, tangguh-tangguh kerja. Paling parah dan mengganggu timeline adalah drama bersiri di netflix. Sindrom alang-alang menyeluk pekasam membuatkan saya pantang bermula tonton drama bersiri. Pasti akan saya tonton sampai selesai.

Ketika ini saya lunaskan tontonan drama Historical K-pop iaitu ‘tree with deep root’. Mujurlah tak banyak. Hanya 1 musim dengan 24 episod. Alasan saya, kajian bagi mendapatkan idea plot untuk karya sejarah fiksyen akan datang. Hehehe…

Kembali pada kisah juvana ini, penulisan kaedah KJ method membantu saya kekal di landasan. Idea dan latar sudah disediakan, tinggal tulis sahaja. Sorot pandang dan plot perlukan garapan yang segar. Selalunya tidak berjaya pada perenggan pertama setiap bab. Saya akan bereksperimen beberapa kali tetapi takkan berhenti.

Saya pegang kuat petua yang dikongsikan oleh watak Sean Connery dalam filem Finding Foresster (2000),

“You must write your first draft with your heart. Rewrite with your head.”

Jadi tanpa gagal saya mesti menulis setiap hari walaupun satu ayat.

Deadline saya esok, jadi saya kena berhenti di sini dan sambung menulis. Ada 2 bab lagi mahu dilunaskan sebelum disemak semula sehingga puas.

Ya Allah Ya Musawwir.. berikan aku Ilham yang hebat, yang memberi manfaat. Mudah-mudahan asbab tulisanku berjaya mencambahkan natijah yang lebih baik.

Leave a Comment

Kisah “Puaka” bakal diadaptasikan sebagai Komik

Sang editor menerjah peti mesej dengan pesanan bertalu-talu. Ada berita baik gayanya. Sebaik peti mesej dibuka…..

“Sudah jumpa!”

Itu ayat pertama beliau, kemudian beberapa contoh lakaran watak utama dikongsikan. Wahhhh… hati saya sudah terkinja-kinja melompat dan menari keterujaan! Selanjutnya, sang editor yang berdedikasi terus bertanyakan pendapat saya sebagai penulis cerita. Sekaligus mendapatkan persetujuan untuk projek kolaborasi. Ini kali pertama saya ditawarkan dengan kerjasama dengan pelukis komik bagi projek adaptasi. Bagai mimpi jadi nyata!

Watak Zaaban

Lakaran watak Zaaban iras seorang pelakon drama. Tapi saya tak ingat namanya. Sesuai dengan umurnya pertengahan 20-an dan seorang guru agama yang baru sahaja mempelajari ilmu rawatan islam. Pengalaman baru setahun jagung, sangkanya hanya mahu mengimbas dan menghalau gangguan ringan di rumah ibunya. Siapa sangka… jeng jeng jeng.. mana boleh cerita. Spoil lah nanti. Hahahah…

Watak Jais

Lakaran watak Jais pula adalah seorang lelaki kurang siuman yang berumur lewat 30-an. Kusut masai, gigi kuning berkarat dan berbaju lusuh dengan kulit berkerak daki tebal. Ditambah pula dengan bau hapak, entah bila kali terakhir beliau mandi. Sungguhpun Jais gila, tetapi apabila dia merampas mikrofon dari bilal dan melaungkan azan… aduhai! Mendayu-dayu dan menyentap sanubari paling dalam. Tetapi bila dia sambung dengan lagu “Gelisah” dendangan Ahmad Jais, habis satu kampung gempar!

Salah satu babak cemas dalam novel

Kolaborasi ini takkan jadi realiti tanpa kesungguhan dari pelukis. Berbunga-bunga rasa hati apabila si Pelukis Komik yang budiman ini menghadiahkan saya komen yang mengujakan. Siapa sangka ada orang yang sedar tentang nilai di sebalik kisah seram + komedi yang saya garap dalam novel ini. Kata beliau,

“Feel seram tapi bermakna, misteri tapi berpijak pada dunia nyata. Cerita yang baik adalah cerita yang tak disangka endingnya.

Rupa-rupanya dia telah berulang kali membaca novel ini dalam usaha mendapatkan rasa dan perisa bagi mencambahkan idea. Syukur… saat paling bermakna bagi seorang penulis adalah apabila ada pembaca yang mahu berkongsi imaginasi dan pemahaman dari novel yang dibaca. Phewwww… tak terkata.

Kalian yang belum memiliki naskah ini, boleh sahaja dapatkan di toko-toko buku berhampiran. Dalam carta toko buku, POPULAR.. novel ini berada di tangga 16. Boleh juga berurusan terus dengan wakil kami. Klik sini: http://www.wasap.my/601132933644/PulangkanKembarPuaka

 

Leave a Comment

Putar Giling Bahagian 1

“Yeay.. Yeayy.. Kak Niya datang! Yeay.. Yeayyy!”

Bersorak riang kanak-kanak berumur lima, tujuh dan lapan tahun meluru keluar di halaman rumah berkaki ayam apabila menyedari kemunculan kereta Honda Civic yang dipandu oleh suami Niya, Zain.

Niya memaksa senyum sambil mengerling ke arah suaminya yang mendengus. Adik-adiknya menerpa ke arah cermin kereta. Tangan mereka yang berminyak melekap sambil melambai-lambai, meninggalkan kesan di cermin kereta yang baru dicuci itu.

“Adik-adik awak ni memang selekeh sepanjang masa agaknya. Ishhh…. Saya baru cuci kereta tahu tak?”

Niya buat-buat pekak hanya membalas lambaian dan membuka pintu kereta. Ketiga-tiga adiknya dipeluk rapat ke tubuh sambil dicium tanpa rasa jijik. Satu persatu pipi mereka dipegang sambil tangannya mengelap cairan hidung yang meleleh jatuh. Yang tinggal hanya kerak hingus.

“Kak Niya beraya di sini ya?”

“Mana Fawwaz, kak?”

“Anim nak main dengan Fawwaz lah kak. Anim rindu.”

“Ajul pun rindu, kak. Mana Fawwaz?”

Bertalu-talu soalan dari mulut adik-adiknya yang masih kecil itu membuatkan hatinya dipanah rasa pedih. Bagai ditikam bertalu-talu. ‘Anim dan Ajul rindu? Kakak dah mati menanggung sendu.’ Niya menangis di dalam hati.

“Fawwaz tak ikut balik. Fawwaz duduk dengan nenek dia di KL.”

Adik-adiknya melepaskan pelukan dan berjalan longlai kembali ke dalam rumah. Niya hanya mengekori langkah mereka. Di pintu masuk, adik perempuannya, Linda yang sudah meningkat remaja menegur.

“Hmm.. Memang tak ada harapan langsung nak beraya dengan Fawwaz kan? Nak jumpa susah. Langsung tak pernah tidur sini.” keluh Linda sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Linda, sudahlah. Kau tahu apa? Kau rindu anak sedara. Kak Niya rindu anak sendiri. Mana lagi berat? Jangan sapu garam di luka, boleh?” tiba-tiba Mak muncul menyambut Niya di muka pintu.

Niya menghulurkan salam. Mencium tangan ibunya yang sudah mula berkedut. Air matanya menitis tak tertahankan.

“Sudah. Sudah. Masuk. Kejap lagi nak berbuka. Tidur sini kan malam ni? Mana Zain?”

Mak menepuk bahu Niya mendorongnya masuk ke rumah lalu keluar menyambut menantu sulungnya itu.

Niya hanya tunduk dan berjalan ke dapur. Linda berjalan beriringan dengan kakaknya.

“Bestnya kakak beraya di sini. Malam ni kita buat biskut ya kak?”

Niya tidak menjawab dan terus membuka tudung periuk melihat isinya. Ada sup ayam kampung sedang mereneh.

“Hmm… Kalau dah monyok macam tu memang tak ada harapanlah jawabnya. Macam tahun-tahun sudah. Lepas buka akak balik KL kan?”

Niya mencapai pisau di atas meja dapur lalu menghabiskan kerja mak menghiris bawang di atas papan pemotong.

“Kesian, mak dan abah. Tak dapat beraya dengan cucu lelaki yang seorang tu. Nak beraya dengan anak perempuan pun susah.” Linda belum mahu berhenti mengomel sambil tangannya mencapai kentang dan besen kecil di kabinet dapur.

Perlahan-lahan kentang itu dikupas.

“Sudah 4 tahun akak tak beraya dengan kami. Nampak gaya memang tak ada harapan lah tahun-tahun hadapan pun. Abang Zain ni kejamlah!”

Mak muncul di muka pintu dapur. Berdehem. Mata mak berkaca-kaca.

“Jaga mulut tu Linda.”

Mak mendekati Niya. Pisau di tangan Niya diambil.

“Sudahlah. Pergi berehat. Jalan jauh kan? Nak balik pula lepas buka nanti, mesti penat. Pergi depan duduk dengan Abah, tolong anyam ketupat.”

Niya menurut. Kepalanya terasa berat dengan pelbagai isu. Wajah Fawwaz bermain-main di fikiran. Langkah kakinya terus dipaksa ke depan.

Abah sedang duduk di beranda ditemani Zain ketika Niya menjenguk. Tangan abah pantas menganyam pucuk daun kelapa.

“Malam ni abah masak ketupat ni, ya. Boleh bawa balik KL. Zain kata dia nak tunggu ketupat abah. Mari sini tolong anyam.”

Abah tersenyum ria.

Niya memandang Zain yang memusingkan bebola mata dengan rasa kurang senang. Tangannya disilangkan ke dada lalu menggelongsorkan tubuhnya di kerusi sofa itu. Terus memejamkan mata.

Niya duduk di lantai, bersentuhan kaki dengan lelaki yang dipanggil abah itu. Tangan abah dikaut dan dicium lama.

Abah hanya tersenyum. Menyembunyikan perasaan.

#dilemmawanita
#fawwaz
#nextdrama #nextpuaka
#putargiling

Leave a Comment

Kisah Laut, Angkasa dan Impian

Sayang sedeli permata buana
Pasirnya putih laut membiru
Terkenang hati ditinggal di sana
Budi Tuan buat kami terharu

Kalau ada sumur dalam airnya
Kepingin sungguh berendam kaki
Kalau ada umur dan jodohnya
Kepingin sungguh bertemu lagi

~MN, 16 Mar 2019, Klang

Bila menulis artikel berkisar topik laut, saya selongkar galeri di dalam telefon bimbit. Teringat kenangan menjelajah pantai timur di selatan semenanjung. Aduhai, ruginya… hanya beberapa keping gambar di tepi pantai, itupun tak bersungguh. Kebiruan laut di pantai sebelah timur ini memang tidak pernah mengecewakan dengan pasir di pantai yang memutih. Kalau tidak kerana Program Jelajah Sekolah bersama Blink Books, saya takkan sampai menjejak kaki ke sini.

Kawasan peranginan di Tanjung Sutera Beach Resort

Berharap sangat dapat kembali.

Program Jelajah Sekolah
Program Jelajah Sekolah di daerah Tanjung Sedeli

Istimewa anak-anak di Tanjung Sedeli ini, saya berusaha meyakinkan mereka bahawa membina impian itu percuma. Jujurnya, mereka tidak pernah terfikir untuk menulis impian menjadi sebuah matlamat.

“Sky is the limit”

Itu yang saya ulang-ulang sambil menyelitkan kisah-kisah inspirasi tentang kejayaan atlet Malaysia mahupun dunia. Seperti ombak di lautan, saya dendangkan kisah kegagalan demi kegagalan yang bertali arus mengasak sehingga rasa putus asa itu terbit. Tetapi, setiap individu ini berjaya meredah badai di lautan kehidupan. Saya tidak hanya menekankan kejayaan bahkan kegigihan atlet ini berdepan dengan cabaran walaupun tewas berkali-kali.

Kuasa imaginasi dan visualisasi seorang atlet mampu membawa jatidiri mereka ke puncak jaya.

“Impian yang tidak ditulis akan jadi angan-angan. Namun jika ditulis, impian itu akan bertukar menjadi MATLAMAT.”

Semasa program ini, pengerusi majlis guru besar Tuan Johari Md Saad bersusah payah mengaturkan agar 9 buah sekolah termasuk sekolah-sekolah kurang murid menyertai bengkel ‘Modul Asas Juara’ ini. Sek. Kebangsaan Sempang, Sek Keb. Seri Perani, SK Telok Hutan Lesong dan SK Tenggaroh mempunyai jumlah murid sekitar 16 sehingga 80 orang sahaja. Namun mereka tidak ketinggalan untuk menyertai bengkel anjuran Blink Book.

Kesempatan yang diambil untuk guru-guru ini memberikan pendedahan kepada anak-anak luar bandar tentang kewujudan dunia luar selain yang didiami mereka. Sek Kebangsaan Seri Gembut menawarkan diri menjadi tuan rumah dan menyediakan ruang untuk 120 orang pelajar menyertai bengkel tersebut. SK Seri Setia Jaya, SK Sedeli Kecil, SK Sedeli Besar dan
SK Mawai menghantar semua pelajar tahun 6.

Bengkel ini diakhiri dengan harapan menggunung. Mudah-mudahan ilmu yang diberikan mendatangkan manfaat.

Leave a Comment

“… KISAH BUDAK ASRAMA: BAHANA MULUT TAK ADA INSURAN…”

Dua tahun duduk di asrama sekolah teknik, macam-macam cerita menarik timbul. Yang lucu, yang seram, yang pedih semua ada. Salah satu ceritanya adalah macam cerita di bawah ni.
Antara perkara yang menjadi kelaziman bagi penghuni asrama puteri ialah kami akan beramai-ramai membaca yassin sebelum tidur. Berkumpul di tengah-tengah dorm dengan diapit katil berkembar di kiri dan kanan, kami duduk dalam satu bulatan. Usai membaca, kesempatan itu diambil untuk kami bersembang sebelum warden bertugas melakukan rondaan dan melibas rotan di pintu kamar memaksa kami masuk tidur.
 
Namun ada peristiwa di satu malam di mana langit ketika itu gelap tanpa cahaya bulan. Lampu-lampu dorm sudah dimatikan, yang tinggal hanya lampu di kaki ima. Kami masih berlonggok sambil bersembang tentang kes pelajar ponteng yang dirotan di perhimpunan pagi tadi.
 
Mula-mula masih kedengaran derap tapak kaki dan suara pelajar yang berbual-bual pulang dari bilik mandi. Kebetulan pula kamar kami paling hujung dan bersebelahan tandas. Lama kelamaan suasana menjadi senyap sunyi di luar. Warden juga malam itu tidak meronda seperti biasa menyebabkan kami tidak menyedari waktu sudah semakin lewat.
 
Sedang rancak berborak, perbualan kami terhenti apabila terdengar ayam berkokok kat luar dorm. Bagai malaikat lalu, suasana berubah menjadi sunyi.
 
Hati aku rasa tak sedap. Degup jantung mulai kencang membuatkan aku mula merangkak menaiki katil.
 
Tetapi memang malam itu malam cari nahas. Ada pula yang bersuara memecah kesunyian.
 
“Ayam berkokok tanda hari mau siang.”
“Ayam berkokok tanda hari mau siang.” kata Ema sambil ketawa.
 
Aku menepuk dahi.
 
“Shhhh..” Mona menjegilkan bebola mata ke arah Ema sambil menekap jari telunjuk ke bibirnya.
 
“Eh.. apa suhhh.. suhhh. Kan orang tua kata ayam berkokok malam-malam tanda turun rahmat.” Ema melawan.
 
“…Mulut Mak Limah betul kau ni. Malam-malam macam ni jangan tegur benda-benda pelik, boleh?” Si Mona tak habis membalas.
 
“Eh… Betullah. Pakcik aku cakap. Kalau dia bohong, maknanya aku bohonglah.”
 
“Shhh… diamlah!”
 
Bahagian selepas itulah yang paling haru-biru.
 
Ayam yang berkokok di luar asrama itu tiba-tiba berkokok lagi.
 
Mula-mula sayup saja kedengaran bunyinya. Selepas tu makin lama semakin kuat dan semakin dekat. Bersahut-sahut.
 
Aku dengan budak-budak dorm dah berpandangan sesama sendiri. Ada pula yang tarik lengan aku sambil memeluk erat. Ada yang sudah melutut mengigit semua jari sambil mata meliar tengok atas bawah depan belakang.
 
Ayam itu masih berkokok lagi.
 
Mujurlah Kak Nana, seorang kakak paling senior dengan tudung paling labuh terus mengetuai bacaan ayat kursi. Yang lain-lain tunggang langgang mengikut baca dengan mata meliar ke sana ke mari. Ada yang sudah menggigil sehingga berlaga gigi.
 
Bunyi ayam berkokok itu semakin lama semakin kuat tanpa tanda mahu berhenti. Kokokan itu semakin jelas sehingga betul-betul di depan pintu kamar kami.
 
Aku dah melopong menunggu masa pintu itu terbuka, membayangkan rupa bentuk mahkluk berjambul atas kepala yang akan muncul depan kami. Adakah kami akan dipatuk atau disergah, semua kemungkinan terbayang di mata aku.
 
Namun sebaik sahaja kakak Nana menghabiskan bacaan barisan ayat kursi yang terakhir, kokok ayam itu terus lenyap. Senyap.
 
Sunyi.
 
Sepi.
 
Seorang pun tidak berani membuka mulut. Seorang demi seorang bubar dan merangkak naik ke katil, cepat-cepat tarik selimut dan cuba tidur. Siapalah sangka ayam berkokok pun boleh bikin seram!
 
Aku? Sudah berselubung di dlam selimut. Phewwww… sempat pula aku menyumpah-nyumpah di dalam hati. Mulut siapalah tadi yang lancang sangat tadi. Aku pula yang merana tak boleh lelap. Tak sabar tunggu azan subuh nak berkumandang.
 
Yang pasti, aku berdoa keras di dalam hati. Tidurlah terus, jangan terjaga sampai pagi. Tak mahu berulang kisah misteri itu lagi. Ada pulak setan yang mencangkung di tengah-tengah dorm sambil menyanyi.
 
“Satu dua tiga leburrrr, semua lena tidur berdengkur,
Terbang tinggi burung tekukurrrr,
yang dah bangun tu tak payah nak pura-pura tidur”
 
Makkkkkkk!!!!!!!!
 
#seramistik #puakaasrama
Leave a Comment

A atau Mati: Bukan pilihan yang adil

A atau Mati: Bukan pilihan yang adil

Aman Wan

RM 10.00 / RM 12.00 (Sabah & Sarawak)

ISBN: 9789672040392

Tahun terbit: 2018

Jumlah muka surat: 119 (tidak termasuk kulit)

“Memang dia hina. Memang dia tak sempurna. Tapi kau mudah menghukum seolah-olah dia satu-satunya ahli neraka.

Apa kau tak pernah berdosa?”

Siapakah Maria yang membawa watak seorang kakak yang menjengkelkan dan bersifat mengokong adiknya, Ana? Karakternya yang tegas dan keras langsung membina tanggapan pembaca, mungkin Maria ini cemburukan adiknya sendiri. Lebih-lebih lagi bila Ana mengatakan Marialah punca ibubapa mereka meninggal dunia. Mengapa watak beliau sangat penting di dalam cerita ini?

Mustahil untuk memahami mengapa ada orang yang tidak pernah mempunyai rekod jenayah sanggup mengambil keputusan gila. Apa motifnya? Demi cita-cita atau terlalu berusaha membuktikan sesuatu?

***

Kisah ini sebenarnya membuat kita terkenang, bila kali terakhir kita mengambil peperiksaan? Adakah kalian masih ingat bagaimana perasaannya semasa menduduki peperiksaan besar itu? UPSR? PT3? Ataupun SPM?

Yang pasti, semua masih terbayang susunan kerusi dan meja di dalam dewan peperiksaan. Hawanya tegang. Dada pasti berdegup kencang. Senyap sunyi dan hanya kedengaran bunyi tapak kaki pengawas peperiksaan berlegar-legar dari meja ke meja. Sesekali kedengaran bunyi keriuk kerusi ditolak oleh pelajar yang bangun untuk meminta diri ke tandas.

Namun kali ini suasana peperiksaan yang digambarkan oleh penulis lebih dahsyat. Seperti tajuk buku ini, mereka hanya punya dua pilihan, A atau MATI.

Apa kaitan antara ikatan kekeluargaan antara Ana dan Maria dengan peperiksaan untuk penjenayah juvana ini? Kenapa hubungan adik-beradik diberikan penekanan serius?

***

Kita selalu dimomokkan dengan kenyataan keputusan peperiksaan akan menentukan hala tuju masa depan.  Semasa bergelar pelajar, kita semua merasa bahangnya. Bila sampai giliran kita yang menjadi ibubapa, debaran yang sama dilalui tetapi rentak degup jantungnya lebih kencang. Secara tidak sedar, ibubapa meletakkan anak-anak mereka di pinggir depresi yang boleh mengundang bahaya.

Saya kira, inilah antara mesej penting yang disampaikan oleh penulis. Bila kehidupan pelajar yang berorientasikan keputusan peperiksaan merampas momen-momen penting yang patut dibina bagi membina jatidiri sebenar.

***

Persepsi saya ketika membaca buku mula-mula membaca buku ini adalah sebuah kisah juvana yang berorientasikan isu masyarakat yang terlalu mementingkan keputusan peperiksaan. Saya tidak menyangka akan dihidangkan dengan cerita dunia distopia. Lantas, saya membuat perbandingan filem yang mempunyai elemen sama di dalam jalan cerita buku ini. Ianya tidak terlalu keras seperti filem “The Purge” atau plot yang rumit seperti “Divergent”. Berkadaran mengikut sasaran pembaca remaja.

***

Membaca buku ini menmbuatkan saya teringat bait-bait kata dalam puisi karangan Usman Awang,

“Suatu bangsa tidak akan menjadi besar, tanpa memiliki sifat kurang ajar.”

Penulisan kreatif menjadi medium menambah kekuatan jiwa remaja. Mendekati jiwa-jiwa yang selalu keliru dengan tekanan peperiksaan, harapan ibubapa yang menjulang berselang seli pula dengan pergelutan jiwa untuk mengecap kebebasan. Paling popular, cinta dan keterujaan yang datang dalam pakej yang sama tatkala hormon dalam tubuh remaja ini melonjak-lonjak semahunya.

Tiada siapa memiliki kawalan seratus peratus terhadap kesilapan demi kesilapan yang bakal dicipta anak-anak remaja ini. Bukan guru disiplin, pengawas, pengetua apatah lagi ibubapa. Menteri Pendidikan pula jauh sungguh untuk dicapai cabang komunikasinya.

Pendapat peribadi saya buku ini dan yang seumpama dengannya adalah satu-satunya komunikasi secara terus. Penulis cuba menyampaikan mesej kebaikan tanpa elemen mengajar-ngajar. Bahawa satu kesilapan bukan bererti pengakhiran kehidupan bahkan ianya menjadi satu lencana yang ditempa supaya mereka sentiasa ingat lantas tidak mengulangi kesilapan yang sama. Mempersiapkan remaja tentang dunia, tentang mereka.

Remaja wajib diberikan pemahaman tentang sebab dan akibat, bahawasanya apa jua keputusan yang diambil pasti memberi natijah pada keseluruhan. Diri sendiri dan orang lain. Secara umum pada bangsa dan agama.

***

Aman Wan menyampaikan mesejnya dengan baik dalam buku ini.  Pendapat peribadi saya ini bukan semata-mata bersandarkan kepada 14 buah buku yang telah ditulis olehnya. Namun, secara peribadi kisah yang ditulis di dalam buku ini menjentik halus tentang peri pentingnya sebuah kasih sayang antara dua saudara secara khusus. Konteks lebih besar tentunya sistem pendidikan dan persepsi masyarakat.

Setiap plot dan konflik di susun secara baik. Setiap satunya diselesaikan dengan bijak. Ada konflik kecil yang selesai segera. Kemudian bercantum dengan konflik utama yang menyimpulkan segala cerita. Sela antara plot dan twist mendatangkan debar pada pembaca dan kelajuan jalan cerita pula secukup rasa.

Gaya penulisan Aman begitu memberi kesan. Ia bukan kisah yang biasa-biasa bahkan kisah dari hati ke hati dari seorang kakak kepada adiknya yang selalu cepat menghakimi sebelum sempat mengetahui punca. Kekesalan yang akhirnya memakan jiwa.

***

 BLANK vs. BLINK

Selepas lebih 5 tahun tahun beroperasi dengan cemerlang sebagai agensi utama bidang penerbitan dengan sasaran pembacanya adalah sekolah rendah, BLINK memutuskan untuk meneroka pasaran baru. Pelajar sekolah menengah yang lebih sinonim dengan isu-isu kontroversi, pemberontakan awal fasa remaja dan kehendak pasaran yang mahu dihidang dengan isi buku yang lebih relevan maka  BLANK dilahirkan. Lebih bersifat leverage kerana pengerusi kumpulan BLINK dilihat cuba mengoptimakan sumber sedia ada, BLANK dilihat berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik.

A atau MATI adalah salah satu daripada empat buku dibawah label AKADEMIK THRILLER yang telah mendapat sambutan baik oleh pasaran dilancarakan semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2018. Rekod paling pantas diulang cetak dalam masa 40 hari menambah keyakinan BLANK untuk terus memasarkan produk dalam tema yang serupa. Setiap buku yang dihasilkan bukan calang-calang dan semberono di bawa masuk untuk menjadi bahan bacaan pelajar-pelajar sekolah.

Novel A atau MATI ini dengan garapan kisah yang sangat baik, boleh menjadi rujukan yang bagus untuk penulis muda memulakan karya mereka. Seterusnya menjadikan karya mereka lain daripada yang lain lalu melangkaui apa yang telah terhasil di Malaysia setakat ini.

BLINK dilihat sebagai satu-satunya rumah penerbitan yang berhasil melahirkan kumpulan penulis yang mencatat rekod penerima royalti paling tinggi di Malaysia dan BLANK akan menyusul sebagai satu lagi cabang pasaran yang bakal menjadi laluan wang jualan yang lumayan.

Sebagai pembaca, saya menerima garapan karya ini sebagai bahan bacaan untuk anak-anak saya kerana saya percaya anak saya mampu menghadam mesej yang disampaikan. Sekaligus membantu menyediakan anak saya untuk mendepani dunia remaja dengan nilai-nilai yang teguh.

Sebagai penulis, saya menyahut cabaran menulis genre thriller remaja dan buku ini sebagai satu tanda aras.

Leave a Comment

Keris Long Leh – terbang mencari waris

Syauqie M.K

RM 17.00 / RM 19.00 (Sabah & Sarawak)

ISBN: 9789830977058

Tahun terbit: 2018, Buku Puris

Jumlah muka surat: 248 (tidak termasuk kulit)

Siapakah waris sebenar, waris yang layak memiliki keris pusaka berlok lima ini? Kenapa Aminuddin berani cari pasal menyimpan keris yang mempunyai pantang larang? Kenapa Pak Long sendiri tidak menghalang entiti yang cuba menguasai jiwa yang lemah? Benarkah keris ini memilih sendiri warisnya, harus diserah secara rela atau senjata ini akan menjadi tawar? Hilang keampuhannya.

Membaca buku Keris Long Leh, aku mendapat perasaan yang sama ketika membaca buku Siri Bercakap Dengan Jin oleh penulis Tamar Jalis. Keterujaan serupa ketika mengulit naskah Saga Twilight, tulisan Stephanie Meyers. Ataupun debar yang sama ketika membaca novel-novel vampira karya Christopher Pike ketika zaman-zaman remaja dulu.

Membuak-buak keinginan mahu menjejak kewujudan hero. Terasa watak begitu hidup. Jalan cerita sudah tentulah jauh berbeza namun gaya penulisan dari sudut pandang pertama benar-benar menghidupkan watak. Kekuatan dan kelemahan sang hero bersebati dalam penceritaan membuatkan emosi turun naik.

Alhamdulillah.. Garapan dan jalan cerita yang lancar, cliff hanging setiap bab sangat mengujakan. Aku suka bab pertarungan di gelanggang mahupun di dimensi mimpi. Elemen, dialog dan babak pertarungan membuatkan darahku menggelegak. Maklumlah bekas anak gayong, pantang dicabar. 😅😅😅

Aku suka suspen yang dicipta berkenaan pewaris. Walaupun penamatnya sudah dijangka tetapi elemen kejutan itu buat aku goyang pendirian. Debar dan segar.

Aku suka ketidaksempurnaan watak Aminuddin. Sangat dekat dengan norma masyarakat.

Aku suka dengan peringatan dan ajakan kesedaran beragama yang diselitkan, tidak terlalu mengajar-ngajar.

Aku suka dengan unsur tahyul dan khurafat yang menambahkan unsur mistik dan suspen dalam kisah ini.

Aku suka dengan garapan watak sang isteri yang diberikan peranan penting lagi signifikan.

Tahniah tuan penulis. Aku rasa terhibur sekaligus ditiupkan tazkirah yang lembut menyusup.

Aku berharap dapat menulis sebaik ini suatu hari nanti.

Tahniah Tuan Amin.. eh Tuan Syauqie! Mudah-mudahan karya tuan menjadi saham akhirat yang mampu mengajak manusia ke arah kebaikan. Mudah-mudahan buku tuan laku keras dan diulang cetak berkali-kali. Mudah-mudahan terus malar segar lewat dekad dan abad.

Amin ya rabal alamin….

2 Comments