Skip to content

Tag: talented people

Sebuah permata

Hidden gemstone. Itu tanggapan pertama aku terhadap dia. Seorang yang sangat berbakat tetapi tenggelam dalam luncuran hidup yang menekan. Enggan memberi peluang untuk menyinar. Setiap kali hatinya patah dan remuk redam dihimpit satu demi satu penolakan. Lebih pahit, tiada dorongan untuk membantu dia kembali berdiri.

Aku ditakdirkan bertemu dengan dia kali pertama di kaki banjaran titiwangsa. Keperibadiannya menyenangkan dan kami serasi dek kerana dia rajin menyambung bait-bait lagu yang aku senandungkan. Bibirnya tak lekang memuji aku yang suka bermain dengan perkataan.

Segalanya tercetus dalam satu sesi luahan rasa oleh peserta lain. Usai kami meredakan ketegangan dan semua peserta bubar kembali menyambung urusan bengkel, di kamar itu tinggal aku dan dia.

Saat itulah dia mengupas lapisan demi lapisan. Aku tak tahu apakah yang telah aku katakan sebelum itu. Sehingga hati dia tergerak untuk berkongsi ranjau kehidupannya yang melemaskan. Akhirnya didepanku, pecah tangisan sayu.

Aku melutut di depannya dan aku bentangkan satu persatu peluang yang tersedia untuk insan yang berbakat seperti dirinya. Kata-kataku membuatkan tangisannya semakin mendadak lantas menghamburkan segala isi hati.

Inilah pertama kali aku melihat, seseorang yang berbakat sedemikian besar merasa putus asa, seolah-olah permata yang terbenam dalam perut bumi tanpa harapan untuk ditemui apatah lagi muncul di permukaan.

Lantas aku berjanji, dengan izin tuhan – akan ku kerahkan segala kudratku. Segala apa yang kutahu untuk membantu dia meletakkan dirinya di mahkota, tempat yang sepatutnya dia berada.

Oh tuhan. Permudahkanlah.

Leave a Comment