Skip to content

Tag: Inspirasi

Siapa Steve Jobs?

Stay hungry, stay foolish

Inilah barisan kata-kata penutup yang disampaikan oleh Steve Job di hadapan ribuan mahasiswa Universiti Stanford pada tahun 2005. Pada masa yang sama beliau telah berkongsi pada khalayak tentang perjuangannya melawan penyakit kanser.

Laptop aku yang berusia 6 tahun akhirnya rosak. Engsel mengeras dan kerana aku biarkan, lama-lama ianya patah. Kabel wifi juga putus. Sementara menanti hasil diagnosis si tukang baiki, aku berkira-kira mahu membeli laptop baru.

Entah bagaimana, tergerak aku mahu menonton rencana khas Steve Job di netflix. Berbaloi bak anggg! Kiranya aku baru nak celik mata bila menonton dokumentari ini. 😅😅

Dokumentari perihal Steve Jobs di Netflix

Dialah lelaki yang mengasaskan syarikat Apple. Dan ketika krisis ekonomi pada tahun 1984 (semasa sedang mengetuai divisyen Macintosh) Steve Job dijadikan kambing hitam. Dia dibuang kerja oleh CEO yang dilantik olehnya sendiri. Tamparan yang sangat hebat di saat-saat Apple sedang mendahului teknologi 10 tahun di hadapan berbanding IBM-Microsoft mahupun XEROX.

Membawa hati duka lara, Steve membina syarikat NEXT (fokus membina OS, sebuah applikasi yang kemudiannya dibeli oleh Sir Tim Berners untuk mencipta www – world wide web).

Siapa sangka Apple membeli NEXT 11 tahun kemudian dan Steve kembali dalam syarikat yang diasaskannya. Steve kembali menjadi nakhoda dalam kapal yang sedang karam – bilamana kewangan Apple berada dalam keadaan sangat-sangat kritikal.

Naluri seorang entepreneur yang sangat kuat, Steve mengambil langkah progresif dan agresif dengan membangunkan bukan sahaja hardware dan software malahan content.

Bermula dengan menjual komputer dari garaj.. Steve Jobs mencipta keajaiban.

Muncullah ipod, itunes, ipad, imac dan segala gajet yang bersifat peribadi dengan misi memenuhi segala kehendak dan nafsu pengguna. Walaupun jumlah keluaran produk Apple tidak sebanyak pesaingnya yang lain, namun pendapatan yang dijana melalui konten yang dibeli pengguna meletakkan Apple di dalam kelasnya sendiri dan berjaya melonjakkan keuntungan di tahap yang sukar dicabar.

Berkali-kali beliau menegaskan tentang peri pentingnya mempertahankan ruh dan nilai dalam setiap inovasi Apple dalam temuramah eksklusif ini. Demi legasi yang ditinggalkan agar boleh menyambung perjuangan beliau.

Sebuah temuramah yang hilang dari simpanan dan kemudiannya dijumpai semula. Setelah beliau meninggal dunia.

Aku tonton 2 kali rencana ini. Kedua-duanya. Banyak falsafah ‘makan dalam’ yang beliau kongsikan. Inspirasi yang mendiang perolehi dari insan-insan yang rapat serta meninggalkan kesan dalam hidupnya. Samada secara positif atau negatif. Kehidupan remaja hippy, pengajaran tentang kisah geseran batu-batan, kembara beliau di India, serta kekejaman dunia bisnes yang banyak membentuk peribadi dan budaya kerja beliau selepas itu.

Kesedaran tentang kematian telah menjadi pemangkin untuk Steve Jobs mencipta kegemilangan pada saat-saat hidupnya berbaki beberapa tahun sahaja.

Masalah bila menonton dokumentari seperti ini, boleh pula datang rasa kekesalan. Kenapa dulu-dulu aku tak sambung pengajian dalam bidang Sains Komputer? Kagum sungguh dengan kecintaan Steve Jobs terhadap teknologi dan ketaksuban beliau untuk memastikan produk Apple membawa lebih banyak kebaikan serta kegembiraan untuk pembelinya.  Betapa aku terdesak untuk menguasai segala teknologi yang memudahkan proses dalam industri. Tapi Steve Jobs sendiri mengakui dia bukan pakar teknologi mahupun programmer yang hebat. Kehebatan Steve Jobs adalah seni mengenal bakat seseorang dan pengutip idea-idea yang hebat. Dia mampu mendorong seseorang merealisasikan idea di dalam kepalanya.

Jadi sekarang, aku ada sebab utk membeli Apple McBook bagi menggantikan laptop yang sudah sampai jangka hayat itu. Bolehlah aku menghargai setiap byte inovasi hasil kerahan otak dan minda pemikir-pemikir yang genius dalam komuniti Apple. Sekaligus menjadi inspirasi dan aspirasi sejagat.

Seronok bila ada alasan untuk shopping… Walaupun hakikatnya poket menipis. Demi menikmati sendiri keistimewaan Apple yang diserapi ruh Steve Jobs, aku mesti memilikinya. Barulah aku boleh buat ulasan kemudian hari samada apa yang disembangkan oleh mendiang Steve Jobs itu benar atau tidak.

#alasannakshopping
#tributetoSteveJob

Leave a Comment

Ke mana kalian selepas keputusan SPM?

Allahu.. Cerita pasal SPM memang unik bagi setiap orang. Persimpangan hidup ditentukan selepas ini.

Ada yang sudah ditakdirkan menempuh laluan yang diimpikan.

Banyak pula yang tersasar….

Pernah dengar cerita seorang calon pramugara ketika ditemuduga, panel bertanya ‘kenapa awak mahu menjadi pramugara sedangkan awak ada sarjana dalam kejuruteraan kimia?’

Jawab calon tersebut, ‘itu impian bapa saya. Saya dah tunaikan impian dia. Sekarang saya nak kejar impian saya pula.’

Saya menduduki SPM tahun 1996. Mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Kemudian menyambung pengajian diploma dalam bidang yang sama.

Terinspirasi! Abang saya mengambil jurusan yang sama. Oleh kerana saya memandang dia sebagai idol, maka saya ikut jejak langkahnya. (Selain sibuk nak membuktikan kononnya wanita boleh berjaya dalam bidang ini sama macam kaum lelaki. Banyak terpengaruh juga dengan bacaan di media cetak mahupun televisyen ketika itu berkisar tentang cerahnya masa depan dalam bidang kejuruteraan dan seumpama dengannya.)

Walhal, sebenarnya kecenderungan saya adalah dalam bidang seni sastera dan sosial. (baru sedar sekarang.. Aduhai! Hehe)

Entah kenapa saya tidak pernah mendengar tentang frasa, ‘follow your passion. Make a living through it’.

Maka, saya berhempas pulas menghabiskan pengajian diploma dengan markah cukup-cukup makan. Tapi saya tak menyesal pun kerana semasa pengajian diplomalah saya jatuh cinta dengan sukan MENDAYUNG.

(Sempat juga menyertai sukan sea dan merasa jerih payah menjadi atlet kebangsaan.)

Kemudian, setelah 7 tahun bekerja dalam bidang kejuruteraan saya mengambil keputusan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang IT. Oleh kerana pengalaman kerja dan juga kecenderungan baru (suka bermain dengan data dan memanipulasikannya) saya berjaya mencapai keputusan cemerlang.

Tahun 2006 saya seolah-olah ditemukan semula kepingan yang hilang. Ditakdirkan bertemu dengan Puan Ainon Mohd dan menyertai bengkel-bengkel percuma beliau di Taman Permata.

Namun perjalanan seni penulisan saya tidak selancar yang diharapkan. Saya anggap setiap halangan itu sebagai pisau pengasah. Mematangkan dan memantapkan. Dan tak ada rezeki nak jumpa Puan Ain Maisarah dan Tuan Syaizul Amal ketika itu. Haha…

Dan akhirnya pada tahun 2017 dan 2018 saya berjaya menyiapkan 5 buah manuskrip.

Dua dari manuskrip tersebut dihantar untuk penerbitan bersama BLANK BOOKS.

Eh! Panjang betul posting ni.. Hahaha..

Akhir sekali, buat adik-adik yang bakal menerima keputusan SPM didoakan kalian beroleh keputusan cemerlang.

Apapun keputusan yang diterima, percayalah kalian masih boleh memilih persimpangan mana yang mahu dituju. Kejar impian. Banyakkan berdoa supaya kekal di jalan yang benar…

Untuk sahabat-sahabat seangkatan yang sudah mempunyai anak-anak SPM ini, pasti kalian lebih berdebar. Tenang-tenang aja.

Semoga berjaya semua! Ayuh… Jalan terus…

Mus Nasmian

Penulis Thriller Remaja

Leave a Comment