Skip to content

Tag: Chermin

Keris Long Leh – terbang mencari waris

Syauqie M.K

RM 17.00 / RM 19.00 (Sabah & Sarawak)

ISBN: 9789830977058

Tahun terbit: 2018, Buku Puris

Jumlah muka surat: 248 (tidak termasuk kulit)

Siapakah waris sebenar, waris yang layak memiliki keris pusaka berlok lima ini? Kenapa Aminuddin berani cari pasal menyimpan keris yang mempunyai pantang larang? Kenapa Pak Long sendiri tidak menghalang entiti yang cuba menguasai jiwa yang lemah? Benarkah keris ini memilih sendiri warisnya, harus diserah secara rela atau senjata ini akan menjadi tawar? Hilang keampuhannya.

Membaca buku Keris Long Leh, aku mendapat perasaan yang sama ketika membaca buku Siri Bercakap Dengan Jin oleh penulis Tamar Jalis. Keterujaan serupa ketika mengulit naskah Saga Twilight, tulisan Stephanie Meyers. Ataupun debar yang sama ketika membaca novel-novel vampira karya Christopher Pike ketika zaman-zaman remaja dulu.

Membuak-buak keinginan mahu menjejak kewujudan hero. Terasa watak begitu hidup. Jalan cerita sudah tentulah jauh berbeza namun gaya penulisan dari sudut pandang pertama benar-benar menghidupkan watak. Kekuatan dan kelemahan sang hero bersebati dalam penceritaan membuatkan emosi turun naik.

Alhamdulillah.. Garapan dan jalan cerita yang lancar, cliff hanging setiap bab sangat mengujakan. Aku suka bab pertarungan di gelanggang mahupun di dimensi mimpi. Elemen, dialog dan babak pertarungan membuatkan darahku menggelegak. Maklumlah bekas anak gayong, pantang dicabar. 😅😅😅

Aku suka suspen yang dicipta berkenaan pewaris. Walaupun penamatnya sudah dijangka tetapi elemen kejutan itu buat aku goyang pendirian. Debar dan segar.

Aku suka ketidaksempurnaan watak Aminuddin. Sangat dekat dengan norma masyarakat.

Aku suka dengan peringatan dan ajakan kesedaran beragama yang diselitkan, tidak terlalu mengajar-ngajar.

Aku suka dengan unsur tahyul dan khurafat yang menambahkan unsur mistik dan suspen dalam kisah ini.

Aku suka dengan garapan watak sang isteri yang diberikan peranan penting lagi signifikan.

Tahniah tuan penulis. Aku rasa terhibur sekaligus ditiupkan tazkirah yang lembut menyusup.

Aku berharap dapat menulis sebaik ini suatu hari nanti.

Tahniah Tuan Amin.. eh Tuan Syauqie! Mudah-mudahan karya tuan menjadi saham akhirat yang mampu mengajak manusia ke arah kebaikan. Mudah-mudahan buku tuan laku keras dan diulang cetak berkali-kali. Mudah-mudahan terus malar segar lewat dekad dan abad.

Amin ya rabal alamin….

2 Comments

Ngopi bersama Iwan Reaz

Perbincangan kami tak boleh fokus. Sentiasa terbantut bila budak kecil yang comel berumur 1 tahun 8 bulan itu hilang dari radar penglihatan. Sambil bercakap sambil mata meliar.

Ada abang yang berumur 12 tahun dan kakak yang berumur 6 tahun main bersama si kecil. Tapi saya tahu saya tak boleh harap 100%. Mesti dipantau juga.

Selalu juga Liana menegur, ‘Mus, dah boleh fokus ke?’ cuba menarik perhatian saya kembali ke dalam topik perbincangan.

Rupa-rupanya bukan saya saja yang tak boleh fokus. Iwan pun sama. Naluri seorang bakal bapa agaknya, mata dia ikut meliar dan bangun mencari anak-anak saya yang seronok berlari-lari ulang alik di koridor itu. Dia berkongsi kegelisahan seorang ibu, saya kagum itu.

Kami bertiga cuba mencari tempat yang sesuai untuk berbincang dan akhirnya memilih kawasan tempat makan di tingkat 3. Kurang sibuk dan lebih lapang.

Ini kali pertama saya bertemu antara pemuisi dan novelis terhebat Iwan Reaz. Dia asyik membetulkan cara saya menyebut namanya. Hahaha.. dasar bahasa baku. Mana saya tahu ada unsur cool and kebaratan. Saya sebut sajalah mengikut telor lidah jawa saya ni.

Pemuda yang layak saya panggil adik ini mempunyai keperibadian tinggi dan sangat berpengetahuan luas. Latar belakangnya yang bekerja bersama BERNAMA saya kira banyak membantu. Cemburu sungguh bila mengetahui anak-anak muda sekarang punya sekian banyak peluang dan ruang untuk berkarya. Saya selalu kagum dengan hantaran puisinya di akhbar-akhbar tempatan. Pilihan kata-kata puisinya menyentuh hati di sudut paling dalam. Dan setelah bertemu, hati saya membuak-buak mahu lebih mengenali beliau.

Ternyata tidak menghampakan sama sekali. Barulah saya tahu dia telah membukukan sejumlah 51 puisi yang sebahagiannya didedikasikan khas untuk abangnya yang telah dijemput ilahi. Frasa ini memukau, “Dulu kita sepasang sayap. menongkah badai. bersilang tangan.” Terasa dekat sekali kerana sememangnya kasih sayang saudara kandung itu sudah penuh di dalam jiwa.

Terima kasih Liana Omar a.k.a. Leanne Adam, kerana memperkenalkan saya dengan individu yang unik ini. Teruja mahu bekerjasama dengan beliau. Kami ditakdirkan bertemu dalam kumpulan karya yang sama, Buku Puris yang dikelolakan oleh Chermin iaitu Cik Liana Omar sendiri. Ada beberapa kelemahan  dalam kerjasama penerbitan karya kali ini, jadi kami sepakat mahu memperbaikinya lagi demi kejayaan yang lebih signifikan.

Liana, si pemikir sudah siap siaga menyediakan pelbagai rancangan strategik untuk penulis-penulis yang mengambil khidmatnya. Beliau menjadi ‘mutual link’ yang menghimpunkan kumpulan penulis yang berpotensi untuk projek seterusnya. Banyak perkara yang dikongsikan bersama dan membuka laluan kerjasama di masa hadapan.

Kami tak sabar, Liana. Sedia untuk berjuang… Ayuh! maju terus….

Leave a Comment