Skip to content

Klinik Asas Rowing 2009 di Pusat Latihan Rowing Kebangsaan


Pada 8 & 9hb Ogos 2009, UTM menganjurkan Klinik Rowing bagi mengenal pasti bakat-bakat baru bagi melaksanakan fasa persediaan dalam menghadapi Varsiti Boat Race 2009. Mahasiswa-mahasiswi daripada UTM Skudai dan Kuala Lumpur seramai 50 orang mengambil bahagian. Dengan peruntukan masa yang terhad, Klinik Rowing dibahagikan kepada 2 iaitu latihan di air dan latihan di darat.

Mahasiswa-mahasiswi didedahkan dengan kemahiran asas mendayung dan juga dikehendaki menjalani ujian ergometer 2000m pada hari Ahad. Pada hari sebelumnya pula, “test protocol” dijalankan bagi mengenalpasti kekuatan dan sasaran masa untuk ujian ergo 2000m. Selain daripada itu, maklumat berat & ketinggian atlet diukur & direkodkan sebagai rujukan tambahan bagi memudahkan proses pemilihan. Biasanya saya tidak mengambil berat akan faktor ketinggian mahupun berat asalkan atlet sanggup membuktikan komitmen mereka. Tetapi, memandangkan faktor-faktor lain seperti :
1) belanjawan latihan/makanan
2) kemudahan penginapan
3) kos pengangkutan
4) pengurusan
disebabkan oleh jarak mereka ke tempat latihan (Skudai – KL), maka faktor-faktor ini penting untuk diambil kira. Atlet UTMKL kurang berdepan dengan masalah tersebut kerana kedudukan geografi mereka yang hampir dengan lokasi pertandingan mahupun latihan. Mereka berupaya mencari pengangkutan sendiri dan melibatkan perbelanjaan minima.

Tenaga pengajar terdiri dari kalangan mahasiswa-mahasiswi UTMKL. Memandangkan pendayung UTMKL mempunyai lebih banyak masa dan ruang, peluang diberikan kepada pelajar UTM Skudai untuk menjalani latihan.

Sungguhpun Klinik Rowing ini adalah untuk bakal-bakal pendayung, latihan untuk pendayung universiti yang sedia ada tetap diteruskan. Apatah lagi mereka berdepan cabaran bagi pemilihan ke Kejohanan Rowing Asia Tenggara di Pattaya. Peluang diberikan kepada mereka untuk menumpukan konsentrasi kepada acara “scull”. Besar kemungkinan acara Men Coxless Four, Men Coxed Four & Men Eight akan dibuka pendayung-pendayung baru bagi pendedahan.
Cabaran Varsiti Boat Race adalah untuk merampas kembali kejuaraan daripada pasukan Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) dengan tidak mengabaikan saingan getir dari Universiti Malaya, Uniten, USM & UIA. Melihatkan kepada jadual yang bertindih dengan peperiksaan, bulan ibadah & bulan perayaan, masa latihan menjadi singkat. Besar kemungkinan UTM hanya mampu merapatkan jurang dengan UTHM. Namun itu adalah suatu permulaan yang cukup baik sebelum UTM kembali mengekalkan kejuaraan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Di MASUM & Uniten Rowing Invitational tahun depan, UTM akan lebih bersedia.

Nota: “Test protocol” terdiri dari ujian ergo 100m dan 500m.
rujukan : http://www.concept2.co.uk/docs/guide/training_guide_v2.pdf

Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *